Sebanyak 10 babak panas telah dipotong dalam filem terbaharu, Pulau demi mendapatkan tayangan untuk klasifikasi PG13 di pawagam.

Penerbitnya, Fred Chong berkata, dengan pemotongan babak itu ia berjaya mendapat tayangan sebanyak 127 pawagam dari 70 pawagam sahaja sebelum ini.

“Bagi mendapatkan klasifikasi PG13, kami terpaksa memotong 10 babak. Pada mulanya Pulau berjaya mendapat tayangan 70 pawagam menerusi Skim Wajib Tayang sahaja.

“Tetapi pihak pengedar berjaya mendapatkan 127 pawagam. Cuma apabila Pulau diharamkan di Terengganu, jumlah berkurang kepada 124 pawagam," katanya kepada media.

Fred berkata demikian ketika tayangan perdana Pulau yang menampilkan pelakon Amelia Henderson,Alif Satar, Ikmal Amri dan ramai lagi di GSC, The Starling, Petaling Jaya.

Baru-baru ini filem terbitan My Way Pictures dengan kerjasama Film Force dan WebTVAsia itu dilaporkan telah diharamkan tayangannya di Terengganu selepas kontroversi membabitkam trelernya.

Bagaimana pun Fred memberitahu , pihaknya masih menunggu keputusan rayuan membatalkan pengharaman tayangan filem tersebut di negara pantai timur berkenaan.

“Sejujurnya kami masih berharap ia dapat ditayangkan di sana. Malah kami sudah menghantar rayuan seminggu lalu tetapi masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri," ujarnya.

Pun begitu, Fred tetap berharap Pulau berjaya mendapat tempat di hati ramai penonton filem serta berjaya mendapat kutipan lebih RM7juta.

"Kami percaya Pulau adalah satu filem yang baik dan harus ditonton. Jadi kita berharap agar penonton terbuka dengan filem ini,” katanya.

“Apa pun, saya berharap agar Pulau berjaya mengatasi rekod kutipan peribadi sendiri RM7juta menerusi filem Nasi Lemak 2.0,” katanya.

Terdahulu, Pulau telah mencetuskan kontroversi menerusi treler filem berkenaan apabila mengandungi babak- babak yang didakwa lucah dan keterlaluan serta pakaian pelakon wanitanya yang mencolok mata.

Pulau mengisahkan percutian impian sekumpulan rakan di pulau eksotik berubah menjadi mimpi ngeri apabila berlaku kejadian mistik dengan kehadiran makhluk ilmu hitam.

Filem bergenre seram itu bakal ditayangkan serentak di seluruh Malaysia mulai 9 Mac depan.