Gaya Hidup

Punya Sentuhan Yang Unik, Syaza Saifuddin Guna Bakat Baik Pulih Perabot Lama

gempak
Badrul Hashim
23/06/2020
00:45 MYT
Sponsor Banner
Punya Sentuhan Yang Unik, Syaza Saifuddin Guna Bakat Baik Pulih Perabot Lama
Perabot-perabot lama seperti almari, kerusi, meja dan sebagainya selalu menjadi bahan buangan hanya kerana ada sedikit kerosakan. Mungkin kita juga selalu memikirkan sudah tiba masa untuk menukarkannya dengan yang baru.
Namun untuk Syaza Saifuddin, ia merupakan peluang baginya menjadi lebih kreatif dalam membaik pulih sesuatu perabot itu. Wanita yang mempunyai bakat dan sentuhan unik ini tahu apa yang terbaik untuk satu-satu perabot itu.
"Ianya bermula ketika ayah dan ibu mahu mengubah suai rumah. Ketika itu saya baru sahaja habis belajar dan mereka meminta saya menjual perabot yang tidak diperlukan lagi di atas talian.
"Tapi perkara sebaliknya berlaku apabila saya melihat banyak perabot yang masih boleh diperbaiki dijual di atas talian pada harga yang sangat murah," kata Syaza yang mempunyai Master's Degree dalam bidang Interior Design dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Menurut Syaza, dari situ dia pula yang mengeluarkan modal untuk membeli sebuah almari pada harga RM80 dan sepasang kerusi kayu pada harga RM50.
"Dengan modal kurang daripada RM200, kalau saya tak dapat jual balik pun tidaklah rasa rugi sangat memandangkan perabot yang saya beli itu tidak memerlukan kerja yang banyak untuk dibaik pulih.
"Saya buat research untuk beli kain dan menggunakan rujukan-rujukan seperti di aplikasi Pinterest yang banyak memberikan pendedahan kepada saya tentang barangan lama yang boleh digunakan kembali," kata Syaza lagi.
Tambah beliau, setelah dibaik pulih, almari yang dibeli pada harga RM80 dapat dijual kembali pada harga RM1,400 manakala sepasang kerusi dengan modal asal RM50 pula dijual dengan harga RM800.
"Buat masa sekarang, saya hentikan seketika projek membaik pulih perabot lama ini kerana terdapat terlalu banyak permintaan, dan saya juga kena tumpukan kepada kerja-kerja sebagai pereka dalaman.
"Selalunya saya akan membaik pulih perabot di rumah mereka yang mengambil saya sebagai pereka dalaman, tetapi bila banyak permintaan, saya tidak sepatutnya menolak rezeki. Cuma saya hanya ada dua tangan," jelasnya sambil ketawa kecil.
Menurut Syaza lagi, dia akan membuka kembali projek membaik pulih perabot tersebut tetapi perlu menyusun atur jadualnya supaya dapat memberikan yang terbaik kepada mereka yang mendapat khidmatnya.
"Sayang sekali jika perabot yang masih boleh diperbaiki dan 'diperbaharui', dibuang begitu sahaja. Jika boleh di baik pulih, tak perlu dibuang dan hanya menambah kepada sisa buangan," ulas Syaza mengakhiri bicara.
Jika anda berminat untuk mendapat khidmat Syaza sebagai pereka dalaman, mahupun membaik pulih perabot-perabot lama, anda boleh ke Instagram miliknya iaitu syazaofalltrades.
Kredit Gambar: Instagram @syazaofalltrades
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live