Tiada sesalan! Itu penjelasan yang diberikan oleh Puteri Sarah Liyana, 38, saat menyimpulkan kisah yang sedang berlaku dalam kehidupannya ketika ini.



Kemelut rumah tangga yang sedang dilanda badai itu tidak langsung menggoncang dirinya malah terus membuatkan dia lebih kuat.

Tidak mahu terus bersedih dan meratapi nasib diri, Puteri Sarah hadir dengan buah tangan terbaru untuk peminat. Lagu Terus yang dilancarkan serentak hari ini merupakan antara manifestasi isi hati ibu kepada dua cahaya mata ini.

Wanita senasib bangkit dan hidup seperti dahulu

Apa yang dirasai dan dilalui diluah di dalam bait-bait lirik Terus seterusnya dinyanyikan oleh gandingan Sarah Fazny dan Zayani yang mewakili dirinya.

"Lagu ini memang mengisahkan tentang apa yang terjadi kepada diri saya. Apa yang berlaku selama ini saya ceritakan dan diterjemah menjadi sebuah karya. Terus memang mewakili isi hati saya.

"Saya gembira karya ini akhirnya dapat menemui pendengar hari ini. Setidaknya mereka yang di luar sana yang senasib dengan saya dapat bangkit dan meneruskan kembali hidup seperti dulu," katanya.

Menariknya, bait-bait lirik dan melodi indah diterjemah dengan baik oleh Faizal Ulwi yang bertindak selaku komposer untuk Terus.

Bagai membawa seluruh emosi, Sarah Fazny dan Zayani juga menterjemah seluruh rasa dengan nyanyian indah mereka.

Lancar lagu Hari Wanita Sedunia

Bercerita mengenai pemilihan tanggal 8 Mac untuk melancarkan lagu ini, ia dipilih sempena dengan Hari Wanita Sedunia yang disambut di seluruh dunia. Terus juga dijadikan hadiah dan pembakar semangat kepada mereka untuk mencari semula kekuatan.

Tambahnya, dia mahu mengabadikan tarikh tersebut sebagai satu simbol “move on” dan mahu semua wanita harus bangkit daripada segala derita dan mencari kebahagiaan hidup.

"Saya mahu jalan terus dan tidak lagi mempedulikan apa sahaja kemelut yang berlaku. Sebagai wanita dan yang paling penting sebagai seorang ibu, saya harus terus kuat!

"Saya harus bangkit daripada kesedihan dan meneruskan kehidupan. Bangkit bukan bermakna ingkar, tapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak," tambahnya lagi.

Untuk pengetahuan, Sarah Fazny merupakan penyanyi yang dicungkil bakat menerusi program Mentor Legend 2014 yang menjadi protege kepada Datuk Amy Search manakala Zayani pula merupakan peserta program 3 Juara 2016.

Dilancarkan secara rasmi hari ini (8 Mac), Terus nyanyian Sarah Fazny ft Zayani sudah boleh didengar disemua platform digital. Video muzik pula sudah mula ditayangkan di YouTube Indigital Music pada hari yang sama.