Astro Prima dengan kerjasama dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. kembali membawakan sebuah program baharu bertemakan hiburan dan temubual.

Dinamakan sebagai Media Hiburan Throwback, ia merupakan sebuah rancangan temu bual eksklusif berkonsepkan santai yang bakal menyingkap perjalanan seni 15 selebriti popular tanah air.

Menariknya, setiap barisan selebriti yang menjayakan musim ini juga pernah muncul dalam majalah Media Hiburan.

Terdahulu, segmen MHThrowback mula diterbitkan pada awal tahun lalu versi digital dan disiarkan menerusi platform media sosial Media Hiburan sehingga turut menerima jutaan jumlah tontonan secara keseluruhan. Masih mengekalkan konsep asal, segmen tersebut kini ditambah baik serta diangkat dalam versi program televisyen.

Untuk musim yang pertama kali diterbitkan ini, pengacara televisyen yang juga merupakan personaliti ERA Radin Amir Affendy telah diberi mandat untuk mengendalikan program ‘Media Hiburan Throwback’ selaku hos sepanjang 13 buah episod.

Menerusi program ini, para selebriti akan dikejutkan dengan keratan artikel berserta koleksi gambar lama mereka yang diambil daripada arkib majalah Media Hiburan. Pelbagai reaksi yang disulami dengan 1001 kisah yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini bakal dibawakan dalam Media Hiburan Throwback.

"Seperti yang kita tahu, sebelum wujudnya penggunaan laman media sosial yang cukup meluas pada hari ini, media cetak seperti majalah dan surat khabar merupakan platform perantara paling utama untuk para peminat mendekati artis pujaan mereka bagi mengetahui pelbagai perkongsian peribadi dan eksklusif.

"Walaupun zaman berubah dan sudah beralih kepada media sosial, namun kualiti perkongsian tersebut masih relevan sehingga hari ini dan mempunyai kekuatan tersendiri untuk divisualkan dalam format kandungan tv.

"Justeru, pelbagai kandungan menarik bakal dijanjikan menerusi program ini kerana arkib majalah Media Hiburan selama lebih 35 tahun akan dibongkar semula," ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh.

Maka ceritera 15 selebriti popular yang menjayakan musim pertama program ini ialah Dato’ AC Mizal, Rita Rudaini, Dato’ Rosyam Nor, Erra Fazira, Akim & Stacy, Didie Alias, Dato’ Awie, Linda Onn, Faizal Hussein, Ifa Raziah, Shira & Ijoy, Norman Hakim dan Marsha Milan akan dibongkar.

Program Media Hiburan Throwback akan berdurasi selama 30 minit secara eksklusif pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 24 Mac 2021 di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’untuk pilihan yang lebih fleksibel.