Pelakon Raja Afiq dan anggota polis yang pernah tular Soffwany Yusof sah bergelar suami isteri pada pagi semalam (Sabtu).

Bernikah di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah pasangan sama padan sama cantik ini dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai Hamzah kira kira jam 9 pagi tadi disaksikan 18 orang tetamu.

Pada majlis itu, Raja Afiq menyerahkan wang hantaran berjumlah RM15,000, mas kahwin sebanyak RM1101 beserta lima dulang dan dibalas dengan tujuh dulang pihak perempuan.

“Alhamdulillah biarpun perkenalan kami singkat, jodoh itu kuat mendekati kami. Kami berkenalan sejak hujung tahun lalu. Rapat dalam awal tahun ini.

“Cuma selepas mengikat pertunangan sekitar awal Mac lalu, kami sepatutnya merancang pernikahan Ogos lalu. Tapi banyak benda yang tergendala rentetan Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya.

“Akhirnya dianjak ke bulan ini. Semoga fasa baru kami ini akan terus membahagiakan. InsyaAllah, “ kata pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 itu.

Raja Afiq atau nama penuhnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali berkenalan dengan isterinya menerusi Instagram.

Isterinya bertugas dalam Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia

“Isteri seorang yang memahami, lemah lembut dan baik. Pendek kata saya menyenanginya,” katanya.

Sementara itu, Soffwany berkata, Afiq, seorang yang sangat memahami kepadatan jadual kerjanya membuatkannya jatuh hati dan selesa.

"Sikap Afiq 'sweet', selalu mengambil berat dan tidak terlalu memberi tekanan kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan," katanya.

Raja Afiq dan Soffwany memilih Pulau Langkawi sebagai lokasi bulan madu dan tidak merancang soal zuriat.

“Kami terima apa yang telah direncanakan Allah SWT. Kalau ada rezeki cepat, Alhamdulillah,” kata Soffwany.

Pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding pada Januari depan sama ada di KL atau Ipoh.