Masih belum jelas hubungan antara pelakon Zizan Razak dan Mira Filzah sehingga kini.

Namun, pada majlis tayangan perdana filem Abang Long Fadil 2 yang dilakonkan oleh Zizan sendiri malam tadi, Mira Filzah turut hadir bersama.

Berpakaian serba hitam pada majlis itu, Mira dilihat telah dijemput sendiri oleh Zizan dari ruang bawah Pavilion hingga ke pawagam sebelum tayangan bermula.

Ditanya tentang kehadiran Mira untuk acara terbabit, Zizan menjelaskan secara berseloroh pelakon wanita itu dijemput sendiri oleh pihak produksi.

"Pihak produksi yang jemput Mira datang.

"Petang itu dia (Mira) salah masuk panggung wayang, jadi saya turun ke bawah untuk menjemputnya.

"Susunan kerusi dalam panggung wayang pula mungkin secara kebetulan bersebelahan dengan ibu saya," ujarnya tertawa.

Bagaimanapun, jelas Mira Filzah menerusi laporan Berita Harian Online siang tadi, dia sekadar hadir memberikan sokongan kepada filem tempatan.

"Saya datang atas jemputan Skop Productions. Kebetulan Zizan berlakon, akan ada tafsiran itu dan ini.

"Sebagai orang seni, saya percaya kita perlu saling menyokong. Itu tanda komitmen kita," kata Mira.

Filem Abang Long Fadil 2 akan mula ditayangkan pada 24 Ogos nanti di pawagam seluruh negara.

Selain Zizan, filem arahan Syafiq Yusof itu turut dibintangi oleh Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Achey, Shuib dan Tania Hudson.

Teks oleh: Amri Hassan