Laman Utama
Rakam Babak House Of Gucci Dalam Panggung Wayang, Ameera Khan Dikecam Netizen
Nampaknya, isu merakam babak filem ketika masih berada dalam panggung wayang tidak berkesudahan.
Jika sebelum ini seorang individu dikecam kerana memuat naik babak penting filem Spider-Man: No Way Home, kini, adik Neelofa iaitu Ameera Khan pula menuai kritikan netizen.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan di Twitter, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap pengsohor fashion itu memandangkan hal memuat naik rakaman dalam panggung wayang masih lagi berleluasa.
“Hi GSC Cinemas, kenapa perkara ini dibenarkan dalam panggung wayang? Dan kenapa masih ada lagi individu yang melakukan hal sebegini dalam tahun 2022?” katanya.
Selepas ciapan dengan tangkap layar rakaman babak House of Gucci yang dikongsikan, akaun rasmi panggung wayang GSC meninggalkan respons.
“Merakam kandungan filem adalah tidak dibenarkan. Kami mengambil maklum hal ini secara serius dan telah menghubungi serta melaporkan insiden ini kepada pemilik hak untuk tindakan lanjut. Terima kasih kerana menyorot tentang perkara ini.
“United International Pictures kini sedia maklum tentang perkara ini untuk tindakan lanjut. Terima kasih,” ujar GSC.
Meninjau ruangan balasan, beberapa netizen cuba memberikan idea bagi mengelakkan insiden merakam dalam panggung wayang terjadi lagi.
“Saya ingat di Korea Selatan, seorang selebriti disaman selepas merakamkan sebuah babak dan kongsikan babak berkenaan di sosial media. Lakukan hal yang sama,” ujar seorang pengguna Twitter.
“Mereka patut ada sistem yang kalau ada orang buat macam ni, movie auto-stop. Lampu spotlight on dan fokus pada orang yang rakam tu. Haaa. Lepas itu barulah takda ada orang akan buat lagi,” ujar seorang lagi netizen.
Terdahulu, Neelofa turut pernah berada dalam situasi yang sama dikecam netizen selepas berkongsi babak daripada filem The Lion King.
Must-Watch Video