Berita

Rakyat Malaysia Lawat Atau Transit UK Perlu Mohon ETA Mulai 2025

gempak
Ernalisa
11/09/2024
16:55 MYT
Sponsor Banner
Rakyat Malaysia Lawat Atau Transit UK Perlu Mohon ETA Mulai 2025
Mulai 8 Januari tahun depan, rakyat Malaysia yang melancong atau transit di United Kingdom perlu mendapatkan Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA), langkah yang ditetapkan untuk memudahkan kemasukan bagi pelawat jangka pendek. Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur berkata, ETA adalah kebenaran digital untuk perjalanan bagi pelawat yang pada masa ini tidak memerlukan visa untuk penginapan singkat, atau yang belum mempunyai status imigresen UK sebelum memulakan perjalanan. Ia menambah bahawa ETA berharga £10 dan membenarkan perjalanan ke UK untuk penginapan sehingga enam bulan pada satu masa selama dua tahun atau sehingga pasport pemegangnya tamat tempoh, yang mana lebih awal.

"UK kini melancarkan ETA ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Pengenalan ETA adalah selaras dengan pendekatan yang telah diambil oleh banyak negara lain (seperti AS dan Australia) untuk mengukuhkan keselamatan sempadan," katanya.

ETA diperkenalkan ke beberapa negara secara berperingkat sejak November 2023. Suruhanjaya tinggi itu berkata, ETA bukan visa UK dan rakyat Malaysia yang akan tinggal di UK selama lebih enam bulan (contohnya untuk belajar atau bekerja) masih dikehendaki memohon visa yang berkaitan; tetapi individu yang mempunyai visa UK yang sah tidak memerlukan ETA. Pengembara Malaysia boleh membuat permohonan lebih awal mulai 27 November 2024 dan seterusnya melalui "aplikasi ETA UK" dan di laman sesawang GOV.UK (www.gov.uk/guidance/apply-for-an-electronic-travel-authorisation-eta ). Suruhanjaya Tinggi British berkata, proses permohonan adalah cepat dan mudah, pemohon biasanya mendapat keputusan dalam masa tiga hari bekerja tetapi mungkin mendapat keputusan yang lebih cepat jika mereka menggunakan aplikasi ETA UK.

"Semua permohonan diuruskan oleh Visa dan Imigresen UK. Suruhanjaya Tinggi British tidak terbabit dalam proses permohonan dan kelulusan," katanya.

SUMBER: Harian Metro
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live