Tanggal 10 Julai 2022 mungkin menjadi detik paling menakutkan buat Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, namun tidak buat segerombolan rakyatnya yang menjalankan protes untuk melihat pemimpin negara itu meletakkan jawatan.

Masakan tidak, pada tarikh tersebut, Gotabaya terpaksa melarikan diri daripada kediaman mewahnya di Colombo dengan bantuan tentera sebelum rumah agam tersebut diserang para penunjuk perasaan yang ‘bersenang lenang’ di dalam kediaman itu.

Menerusi beberapa siri foto yang disiarkan BBC.com, rakyat yang sudah tidak dapat menahan sabar biarpun Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berjanji akan meletak jawatan secara rasmi pada 13 Julai ini menyerbu masuk dan merosakkan barangan dalam kediaman tersebut.

Selain mengambil kesempatan bergambar, ada rakyat yang berbaring di atas rumput, bersantai dan menikmati katil serta tilam empuk di kamar utama serta menggunakan kolam renang untuk mandi manda.



Tidak hanya itu, sekeping foto yang dirakamkan Getty Images menyaksikan beberapa orang warga emas menghabiskan masa dengan bermain judi di ruang tamu kediaman tersebut.

Tertekan dengan tindakan radikal rakyat yang memprotes sejak beberapa minggu lalu selepas mengalami krisis ekonomi, Ranil Wickremesinghe akhirnya akur dan meletak jawatan perdana menteri pada Isnin, 11 Julai 2022.

Baru baru ini Sri Lanka diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik hutang luar berjumlah AS$51 bilion (RM226 bilion).