Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat memilih bulan seribu kemuliaan, Ramadan, untuk melancarkan single solonya yang terbaharu berjudul Beriku Waktu.

Azmi berkata, lagu ciptaan Archie Syukri itu berkonsepkan ketuhanan dan merupakan peringatan buat dirinya dan semua pendengar.

Azmi turut menyifatkan lagu Beriku Waktu seumpama makanan jiwa.

Beriku Waktu merupakan perkara yang kita perlukan dari Allah SWT sebelum mengakhiri hidup kita di dunia yang hanya sementara dan penuh tipu daya ini.

“Kejayaan yang dikecapi telah menyebabkan kita menjadi sombong, pentingkan diri dan ego sehingga kita lupa kepada Allah SWT dan sukar menerima hakikat bahawasanya Allah SWT sedang memberi ujian berat kepada kita,” katanya sebak.

Katanya lagi, ujian yang datang merupakan peluang kedua untuk manusia kembali ke jalan-Nya.

“Sesungguhnya kita harus mengambil kesempatan ini untuk bersyukur dan kerana Allah SWT masih tidak melupakan hambaNya

“Waktu yang sedikit tersisa ini, gunakanlah sebaik mungkin untuk meningkatkan amalan agar ia diterima sebagai bekalan kita di akhirat nanti”, katanya.

Lagu ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes, YouTube dan juga YouTube Music.

Muzik video Beriku Waktu dilancarkan secara rasmi pada 19 April lalu.

Rata-rata yang telah mendengar lagu ini memberikan komen positif serta memuji liriknya yang membawa maksud mendalam serta memberi keninsafan.