Kecoh di media sosial apabila beberapa video dan foto pusat membeli belah terkemuka Kuala Lumpur, Pavilion terbakar.

Video pendek dengan asap tebal berkepul-kepul itu juga mencetuskan rasa panik pengunjung.

Bagaimanapun ada juga pengunjung mengakui tidak menyedari insiden tersebut walaupun berada di dalam pusat membeli belah berkenaan dan bersyukur kerana semuanya selamat.

Sementara itu, pihak pengurusan Pavilion KL dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan insiden itu berpunca daripada kebakaran kecil di sebuah restoran yang terletak di tingkat satu.

Namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan perniagaan dijalankan seperti biasa.

“Satu insiden kebakaran kecil berlaku kira-kira pukul 2.10 petang pada 30 Mac 2022 di dapur sebuah restoran di tingkat satu.

"Kebakaran segera dipadamkan dan insiden itu sudah dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pihak kami akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pengunjung dan juga peniaga premis,”tulis kenyataan berkenaan.

Difahamkan juga kebakaran itu berlaku di tempat pembakar daging itik restoran berkenaan.