Skip to main content

Rancangan Realiti

“Ramai Yang Kata Saya ‘Legend’ Layak Jadi Juri Bukan Peserta, Tapi…” – Jat

jat-gv6.jpg
Sebaik nama sahaja nama Jat diumumkan sebagai salah seeorang bintang Gegar Vaganza musim ke enam (GV6), ramai berpendapat vokalis Black Dog Bone itu lebih layak berada di kerusi juri berbanding menjadi peserta.

Tidak pernah meletakkan dirinya sebagai penyanyi lagenda, Jat ketika ditemui Gempak memberitahu dia mempunyai sebab kukuh mengapa bersetuju untuk menyertai GV6.

“Alhamdulillah jika ada yang meletakkan saya di tahap legend, kerana saya sendiri tidak berasakan sudah berada di tahap itu.

“Saya bersetuju untuk menyertai GV6 kerana sudah tiga kali menolak tawaran daripada pihak produksi iaitu GV2, GV3 dan GV4 kerana komitmen kerja.

“Tahun ini tawaran datang lagi dan saya meminta kebenaran bos untuk menyertai GV dan beliau bagi greenlight,” katanya.

Tambah Jat lagi, dia juga tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam GV6 kerana tujuan utama menyertai program itu adalah untuk melepaskan kerinduan menyanyi di pentas besar.

“Saya dah lama tak buat show atas pentas besar. Sekurang-kurangnya GV6 boleh bawa saya kembali kepada nostalgia lama.

“Lagi pun, saya hanya nak seronok-seronok dan mencipta kenangan baru dalam kerjaya selain dapat bertemu teman-teman lama,” ujarnya.

Apabila diberitahu ramai yang meneka dirinya bakal bergelar juara kerana kualiti vokal yang masih baik sehingga kini, Jat tidak bersetuju mengenai perkara tersebut.

“Awal lagi jika mahu meneka sayalah juara GV6 sebab kita tak tahu apa yang bakal terjadi nanti. Kecelakaan tak bagi kita signal.

Siapa tahu jika saya buat silap atau tak sihat? Itu semua faktor yang boleh buat kita terkandas di pertengahan pertandingan,” katanya merendah diri.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober ini secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Jika tidak berkesempatan untuk ke MBSA, anda juga boleh menonton GV6 di Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO setiap Ahad pukul 9 malam.
 
 

Advertisement

Must-Watch Video