Viral
"Rancang Nak Pacak Kek Tengah-Tengah Rumah Tapi ..." - Alha Alfa Pasrah Kek Kaca 8 Tingkat Roboh Ketika Resepsi
Jurusolek dan usahawan kosmetik popular Datuk Alha Alfa terpaksa akur apabila kek setinggi lapan tingkat yang dihasilkan sempena majlis resepsi semalam roboh ketika sesi bergambar.
Kata Alha dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku ketika kejadian tersebut.
"Tak apalah rezeki setakat itu sahaja. Saya tak marah pun, beratus kali mereka minta maaf.
"Walaupun dalam perancangan nak pacak kek itu tengah-tengah rumah. Habis berderai semuanya.
"Apapun Abang Nas (Great Idea) memang superb kek itu. Syukur tak ada orang di belakang kalau tak jenuh berjahit muka nanti," tulisnya pada entri terbaharu di Instagram.
Dalam rakaman video terbabit, Alha bersama beberapa tetamu yang hadir pada majlis tersebut sedang berdiri di hadapan kek lima tingkat itu sebelum tiba-tiba terbalik ke belakang.
Alha percaya jisim kek yang dihiasi kaca pada bahagian puncaknya yang terlalu berat menjadi punca binaan kek itu roboh.
"Kek ini punya berat mungkin meja yang sokong itu pun dah menyerah diri dah tunggu masa saja bergegar sikit terus roboh.
"Terima kasih kerana merealisasikan impian kek kaca saya. Punya ramai orang tolak sebab tak nak ambil risiko. Sekarang saya faham risikonya.
"Apapun usaha yang abang ambil untuk buat kek saya itu sangat saya hargai," tambah Alha.
Sementara itu meninjau di media sosial perancang perkahwinan Nas Great Idea Weddings, nilai kerugian ekoran insiden itu ditanggung pihaknya sendiri.
"Abang yang kena ganti kek itu. Orang lain yang bising.
"Bukan senang nak jadi perancangn perkahwinan. Perkara tidak diduga berlaku dan kadang-kadang sendiri kena tanggung," tulisnya bersama paparan skrin perbualan dipercayai bersama pereka kek itu.
Majlis resepsi itu berlangsung penuh meriah di Dewan Mindef Kuala Lumpur malam tadi dengan dihadiri tetamu yang turut terdiri daripada kalangan selebriti tempatan.
Alha dan pasangan, Noor Azlin telah selamat bernikah pada 28 September lalu selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.
Terdahulu, pasangan itu telah melangsungkan majlis persandingan di Taiping, Perak sejurus selepas majlis pernikahan.
Must-Watch Video