Bagi mereka yang mengikuti muzik Hip Hop tempatan, nama Siqma bukanlah satu nama yang asing.

Mula berkecimpung dalam industri sejak 2016, Siqma mula menjadi bualan peminat genre tersebut apabila banyak menerbitkan karya-karyanya di YouTube.

Ini kerana Siqma bukanlah hanya penyanyi rap, bahkan juga seorang komposer dan penerbit.

Bahkan, karya-karyanya juga sering mendapat pujian sehingga pernah mendapat jolokan 'The New Malique' dalam kalangan peminatnya.

Cuma, selepas hanya beberapa tahun, Siqma kemudian mula memunculkan diri di arus perdana selepas disunting Universal Music Malaysia pada April lalu.

Terbaharu, Siqma berkolaborasi dengan rapper yang semakin meningkat naik namanya, Kmy Kmo yang pernah bergandingan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir.



Menampilkan buah tangan baharu berjudul Raja Simurgh, menurut Siqma memberitahu bahawa melodi lagu tersebut diinspirasikan daripada lagu rakyat Rasa Sayang.

"Lagu ini lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan kita, moral, kesetiaan kita kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.

"Raja Simurgh" adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Ianya bukan lagu ketuhanan tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar," katanya.

Yang dinantikan sudah tiba RAJA SIMURGH. Saya ft. @kmy__kmo kini telah berkumandang di semua digital platform. . Klik link di bio. Jangan lupa share guys ! Salute.

A post shared by SIQMA Σ (@siqmaofficial) on


Menurut Siqma, lagu yang diilhamkan daripada sebuah buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi itu diharapkan dapat diterima ramai.

"Semestinya, saya tidak mahu mensasarkan lagu ini kepada pengikut muzik hip hop saja khususnya. Sebaliknya, saya mahukan lagu ini memberi teladan dan mesra telinga kepada semua pendengar dari pelbagai latar belakang.

"Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan," katanya yang sebelum ini tampil dengan single berjudul Cemas dan Salam 1001.