Penyanyi baru yang sering berkongsi bakat nyanyian di Instagram, Rasyad kini tampil dengan lagu terbaru berjudul Dejavu.

Lagu ini mendapat sentuhan komposer handalan Omar K, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

Istimewanya, lagu ini memberikan dimensi berbeza dalam corak nyanyian Rasyad. Sebagai seorang pencinta karya balada, Dejavu pula dihasilkan dalam genre rancak. Sekali gus, ia memberi angin baharu buat penyanyi ini sendiri bagi menyerlahkan lagi versatiliti seninya.

Liriknya pula membawa perspektif menarik apabila bercerita mengenai kekeliruan atau konflik dalam diri seseorang. Dalam kehidupan, manusia sering diuji dengan perasaan yang sukar dikikis sehingga membelenggu dirinya setiap masa.

“Kalau mengikut definisi dan visi, lagu ini bercerita mengenai seseorang yang masih lagi terperangkap dalam dunianya sendiri. Hal itu disebabkan dia masih tidak boleh menerima kenyataan dan terfikir mengenai orang tertentu.

"Bayangan individu itu masih bermain di mindanya selain rasa bersalah menebal memikirkan kesilapan yang dilakukannya,” katanya.

Bercerita mengenai keputusannya keluar dari zon selesa, Rasyad mengakui hal itu sebenarnya tidak disangka. Apalagi, dia sendiri sudah terlalu biasa dan lebih menjiwai karya-karya berentak balada.

"Saya ingat akan diberikan lagu balada memandangkan genre nyanyian saya memang begitu.

"Kemudiannya kami mencuba melodi sedikit rancak dan tidak sangka bunyi serta auranya lebih sedap. Secara kasar, ia siap dalam tempoh tiga bulan termasuk proses adunan dan ‘mastering’,” katanya.

Sebagai pendatang baru, Rasyad tidak lari daripada cabaran. Menurutnya, perkara paling sukar ketika menghasilkan lagu ini adalah untuk menyalurkan penjiwaan yang betul.

“Paling sukar untuk saya adalah untuk menangani rasa gementar dan takut. Ini kerana, saya merasa sangat susah untuk menjiwai sesebuah lagu itu sewaktu rakaman dan memberikan segalanya dalam diri. Perihal memilih jenis aura yang tepat untuk menggambarkan diri saya juga agak mengelirukan apalagi saya masih terlalu mentah dalam industri,” katanya lagi.

Dejavu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.