Sekilas
- Izzue Islam berkongsi detik emosional apabila mengetahui berita isteri Achey hamil selepas 15 tahun menanti.
- Mereka menerima berita gembira itu secara peribadi sebelum Achey dan isteri mengumumkannya kepada umum.
- Izzue juga berharap dan terus berusaha untuk dikurniakan zuriat walaupun sudah 13 tahun berkahwin.
Pelakon, Izzue Islam mengakui dua kali menitiskan air mata apabila mengetahui berita gembira rakan seperjuangannya, Achey yang bakal bergelar bapa selepas isterinya disahkan hamil setelah 15 tahun menanti.
Menurut Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, sebelum Achey dan isteri berkongsi kepada umum, mereka sudah memaklumkan berita gembira itu kepadanya terlebih dahulu.
"Ketika mereka membuat pengumuman itu, sebenarnya sudah kali kedua saya menangis dan kali kedua saya meraikan kegembiraan tersebut.
“Mereka datang ke rumah untuk buat kejutan, berpura-pura menghantar kuih bahulu atau makanan.
"Kemudian, mereka menunjukkan sesuatu kepada Awin. Selepas itu, mereka berdua menangis. Saya pun tertanya-tanya, ‘Apa benda ini? Kenapa kau menangis?’
"Kemudian saya peluk Awin dan apabila melihat apa yang ditunjukkan menerusi telefon, barulah kami tahu," kongsinya.

Izzue berkata demikian ketika ditemui di acara ‘Watch Party’ bersama barisan pelakon drama Suamiku Anak Mak bertempat di Kingston Hotel 10 by iBilik, Bukit Jalil pada Khamis.
Mengulas soal anak, Izzue berkata dia juga tidak menolak andai suatu hari nanti akan dikurniakan rezeki sama.
Malah kata Izzue, selama 13 tahun melayari bahteri perkahwinan, dia dan isterinya tidak pernah sekalipun putus harapan untuk menimang cahaya mata sendiri.
"Saya sangat gembira untuk mereka. Saya sendiri tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa mendapatkan zuriat
"Kalau ada rezeki untuk Izzue dan Awin, mana tahu, kan? Tetapi usaha tetap perlu dilakukan. Kami tidak pernah berhenti berusaha dan tidak pernah berhenti berdoa.
"Yalah, 13 tahun itu satu tempoh yang lama. Tetapi sahabat kita, Achey, selepas 15 tahun pun Allah rezekikan. Kenapa kita mahu mengatakan tidak? Kenapa kita mahu berhenti?
"Kita perlu terus berusaha. Mana tahu, mungkin lima tahun atau 10 tahun lagi, kalau dapat, dapatlah.
"Tetapi bagi saya, semuanya okey. Berdua pun okey, kalau ada zuriat pun okey. (Ketawa)," ujarnya.
Untuk info, selepas 15 tahun menanti, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya, akhirnya bakal menimang cahaya mata sendiri tidak lama lagi apabila isterinya disahkan hamil menerusi proses persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani buat kali kedua.