Dua tahun negara bergelut dengan pandemik Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa banyak aktiviti tidak dapat dijalankan.

Ia termasuk suasana sambutan hari raya Aidilfitri yang diraikan dalam fasa PKP. Tidak ada pergerakan balik kampung dan aktiviti berziarah sanak saudara dan sahabat handai. Semuanya harus duduk di rumah bersama keluarga tercinta.

Kemeriahan 1 Syawal seperti tahun sebelumnya sangat dirindukan ketika itu. Kesesakan lalu lintas, kanak-kanak bermain mercun, pasang pelita dan berziarah dari rumah ke rumah antara aktiviti yang pastinya menggamit memori.

Tidak banyak lagu raya baharu kerana mengenangkan situasi semasa. Apa yang ada, dendangan lagu raya lama mengiringi suasana hari raya.

Cukuplah dua tahun itu. Tahun ini, kita mahu menyambut hari raya dengan serba meriah. Tradisi sedia ada ingin terus dilaksana dengan seisi keluarga. Bukan saja anak-anak kita, tapi orang dewasa juga sudah tidak sabar untuk berhari raya.

Bagi menghidupkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri 2022, syarikat rakaman Universal Music Malaysia bakal melancarkan lagu raya nyanyian barisan artis ternama negara.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Yonnyboii, Dolla, Kmy Kmo, Luca Sickta, Sophia Liana dan Hannah Delisha.

Pengurus promosi dan pemasaran Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, penerbitan lagu raya itu bagi mengembalikan semula ‘mood’ selepas dua tahun hanya beraya di rumah.

"Tahun ini pihak Universal Music Malaysia ingin mewarnai kemeriahan hari raya dengan memberi ‘mood’ raya selepas dua tahun kita berada dalam fasa PKP dan tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman.

"Kemeriahan ini kita kena rasai seperti dulu lagi. Jadi, kami di Universal Music menyajikan lagu-lagu raya yang baharu dan menarik untuk menemani anda sepanjang jalan balik kampung dan memeriahkan suasana raya anda di kampung," katanya.

Lagu raya baharu yang bakal dilancarkan itu sesuatu yang cukup istimewa kerana ada antaranya sudah lama tidak merakamkan lagu raya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Pastinya, lagu raya baharu daripada Universal Music Malaysia ini mengajak kita semua untuk meraikan Syawal kali ini dalam susasana penuh meriah. Biarlah raya kali ini kita ‘all out’ selepas dua tahun tidak melaluinya.