Sukan
RCS Runbike World Championship 2025: Prestasi M8 Malaysia Meningkat - "Alhamdulillah, Membanggakan"
Pasukan M8 Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di RCS Runbike World Championship 2025, dengan sembilan pelumba berjaya mara ke Final A & Final B, menunjukkan peningkatan ketara berbanding penyertaan tahun sebelumnya.
Menurut Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli, prestasi yang ditunjukkan oleh pelumba Malaysia kali in jauh lebih baik berbanding tahun 2023.
“Alhamdulillah, prestasi yang cukup baik dan membanggakan untuk pasukan M8 Malaysia. Jika pada 2023 di Jepun kami hanya membawa tujuh pelumba dengan hanya seorang, Maleeq Dragster, berjaya ke final, tahun ini situasinya jauh lebih baik,” katanya.
RCS Runbike World Championship 2025 berlangsung di Tokyo Jepun pada 17 sehingga 19 Januari 2025.
Maleeq Dragster, yang menjadi satu-satunya wakil Malaysia ke final pada tahun 2023, sekali lagi menampilkan prestasi luar biasa apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dunia dalam kategori 5 tahun lelaki.
“Sasaran kami adalah untuk Maleeq menjuarai perlumbaan kali ini, namun perlumbaan yang sukar menyebabkan dia terhimpit di permulaan dan sukar untuk segera ke hadapan. Walaupun begitu, kami tetap berpuas hati kerana dia masih mengekalkan podium,” tambah Datuk Seri Wan Mohd Muzri.
Kejuaraan tahun ini dimenangi oleh Tiangua dari China, diikuti Hong Yi dari Taiwan di tempat kedua dan Ono Sota dari Jepun di tempat ketiga.
Selain Maleeq, abangnya Mikael turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ke-14 dunia dalam kategori 7 tahun lelaki.
Sementara itu, Mikayla mencatat keputusan cemerlang apabila menduduki tempat kedua dalam kategori Open Girl - Challenge Cup, menjadikan satu lagi kejayaan manis buat pasukan M8 Malaysia.
Datuk Seri Wan Mohd Muzri turut menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil corak latihan yang semakin efektif, dan beliau mengucapkan terima kasih kepada jurulatih pasukan M8 Team – Coach Omar, Muhaimin, dan Khai atas usaha mereka dalam membentuk pelumba ke tahap terbaik.
Sebagai langkah seterusnya, pasukan M8 Malaysia akan membawa jurulatih dari Jepun dan China ke Malaysia untuk memberikan latihan intensif kepada pelumba dan jurulatih tempatan. Selain itu, juara dunia Fuki dari Omalleyz x M8 Japan juga akan diterbangkan ke Malaysia bagi memberi tunjuk ajar kepada pelumba-pelumba M8.
“Dengan persiapan dan latihan yang lebih mantap, kami yakin dapat membawa kejuaraan dunia kembali ke Malaysia pada tahun 2026, Insya-Allah,” tambahnya.
Keputusan Penuh Pelumba M8 Malaysia di Jepun:
• Maleeq – 4th (5 tahun lelaki)
• Mikael – 14th (7 tahun lelaki)
• Mikayla – 2nd (Open Girl - Challenge Cup)
• Raziq – 8th (3 tahun)
• Izz Fast – 11th (6 tahun lelaki)
• Amni Lateefa – 15th (5 tahun perempuan)
• Hoorbint – 6th (5 tahun perempuan, dibatalkan kerana masalah helmet)
• Dayyan Adam – 6th (6 tahun lelaki)
• Ilyas – 8th (2 tahun)
• Rafif – 5th (Challenge Cup - Final A)
• Ai The Destroyer – Semi Final B (3 tahun)
• Kenzie (M8 Indonesia) – 6th (3 tahun)
• Neng Rara (M8 Indonesia) – 2nd (6 tahun perempuan)
• Fayyadh – 5th (8 tahun)
Must-Watch Video