BERITA
Remaja Bunuh Ibu Gara-Gara Cinta Dihalang
Gara-gara berang hubungan cinta dibantah, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh ibunya dengan bantuan teman lelakinya di Medchal, Telangana, India pada petang Isnin lalu.
Inspektor Polis Jeedimetla, G Mallesh berkata, menurut laporan, pembunuhan kejam itu dirancang oleh anak perempuan mangsa bersama teman lelakinya yang berusia 19 tahun serta adik lelaki teman lelakinya.
Ujarnya, ketiga-tiga suspek tersebut dilaporkan mencekik mangsa, Anjali, ketika dia sedang bersembahyang di rumah mereka di Medchal.
“Remaja perempuan berkenaan dikatakan telah melarikan diri bersama teman lelakinya seminggu yang lalu dan pulang ke rumah empat hari kemudian selepas ibunya membuat aduan polis.
“Remaja tersebut dikatakan marah dengan mangsa kerana membantah hubungannya dan dilaporkan telah memujuk teman lelakinya untuk membunuh mangsa,” katanya.
Sementara itu, adik perempuan Anjali berkata, selepas cubaan awal mencekik tidak menyebabkan kematian, anak perempuannya telah memanggil semula teman lelaki dan abang teman lelakinya untuk memastikan ibunya benar-benar meninggal dunia.
“Mereka memukul muka dan kepalanya (Anjali) sehingga berlaku pendarahan. Saya mahukan keadilan untuk kakak saya,” ujarnya.
Mallesh memberitahu media bahawa hubungan antara ibu dan anak perempuan itu kelihatan pahit dan bermusuhan.
Menurutnya, anak perempuan mangsa yang merupakan seorang pelajar telah ditahan.
“Kematian mungkin disebabkan oleh cekikan dan kami mengesyaki kecederaan kepala itu berlaku akibat hentakan pada dinding. Kami sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya.
Tambah Mallesh, pihak polis sedang cuba memastikan sama ada teman lelaki itu juga masih di bawah umur.
Kad Aadhaar miliknya menyatakan dia berumur lebih 18 tahun, tetapi kad tersebut tidak diterima sebagai bukti sah di mahkamah.
Kedua-dua remaja bawah umur itu akan dihantar ke rumah tahanan juvana.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video