Remaja Merajuk Lari Masuk Hutan Ditemui Selamat
Seorang remaja yang dilaporkan lari ke dalam hutan berhampiran Taman Belimbing Harmoni, Alor Gajah pada malam Khamis ditemukan selamat.
Merajuk Dimarahi Abang
Menurut laporan Sinar Harian, dalam kejadian lebih kurang jam 9 malam, lelaki berusia 20 tahun dan mengalami masalah mental itu dipercayai lari ke arah hutan terbabit kerana merajuk selepas dimarahi abangnya.
Komander operasi Penolong Penguasa Bomba (PPB), Mohamad Hamzian Mohd Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah tiba di lokasi kejadian pada jam 9.21 malam.
"Setiba pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, seorang lelaki yang dipercayai kurang sihat telah lari ke dalam hutan berhampiran dengan rumahnya.
"Operasi mencari mangsa berjaya dilakukan dalam tempoh kira -kira 35 minit selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya kira-kira jam 7 malam," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Jelasnya, mangsa yang selamat kemudian telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar pulang ke rumahnya.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.03 malam dengan kekuatan seramai lapan anggota termasuk lima anggota jentera FRT BBP Alor Gajah," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian