VIRAL
Replika Baju Melayu Tengah-Tengah KL Cetus Kontroversi, Dikaitkan Amalan Karut! Ini Penjelasan Pengasas Bulan Bintang Beri Penjelasan - "Jika Lihat Jenama Luar Negara ..."
Pengasas jenama baju Melayu viral Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi tampil mengulas susulan timbul kontroversi replika Baju Melayu bersaiz gergasi sepanjang 12 kaki yang diletakkan di hadapan The Starhill.
Kehadiran replika ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, dengan sesetengah pihak menyamakannya dengan patung berhala dan menganggap ia sebagai amalan karut.
Jelas Azzim, majoriti maklum balas yang diterima adalah positif dan ramai yang menghargai usaha untuk mengangkat budaya Melayu di lokasi tumpuan pelancong.
"Berkenaan replika gergasi, saya dapat dua jenis maklum balas. Ada segelintir yang mengecam, namun majoritinya berbangga dan memberi respons baik. Mereka menghargai usaha untuk mempromosikan budaya tradisi Melayu dan Malaysia," katanya.
Kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ yang berlangsung dari 12 hingga 23 Mac 2025 menampilkan ‘pop-up store’ serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu.
Menurut Azzim lagi, idea untuk membina replika tersebut datang daripadanya sendiri sebagai satu strategi mempromosikan Baju Melayu kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
"Jika kita lihat jenama luar negara, mereka juga mempunyai replika gergasi produk mereka seperti beg tangan dan kasut. Kenapa jenama tempatan seperti kami tidak boleh buat perkara yang sama?" tambahnya.
Azzim turut menegaskan replika tersebut bukan semata-mata untuk mempromosikan jenama miliknya, tetapi lebih kepada memperkenalkan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
"Dalam keterangan yang terpapar di hadapan replika itu pun, saya tidak terlalu mempromosikan jenama saya. Saya lebih menekankan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang dipakai untuk menyambut perayaan," jelasnya.
Azzim ditemui di majlis bertemu peminat sempena kempen 'Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill' di Bukit Bintang, malam tadi.
Selain Azzim, duta jenama terbabit seperti Shukri Yahaya, Nadhir Nassar, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut turun padang bertemu peminat dan memeriahkan acada terbabit.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Setakat ini, kempen yang sudah berjalan selama tiga hari mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada pelancong yang tertarik untuk bergambar dengan replika tersebut.
"Saya sendiri nampak orang bergambar dengan replika ini. Dari jauh saya rakam aksi mereka, dan saya berbangga apabila ramai yang menghargai budaya kita," kata Azzim.
Kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ turut menampilkan koleksi istimewa Baju Melayu Bulan Bintang serta koleksi pakaian wanita di bawah label Bulan Bintang Sisters.
Must-Watch Video