HIGHLIGHTS
Rindu Budaya BERJIRAN Dulu-Dulu – Bertukar Pinggan, Tolong Angkatkan Kain, Jagakan Anak Pun Boleh.
Kalau di kampung-kampung, semangat kejiranan itu masih utuh, apatah lagi pada zaman emak-emak kita dulu. Cuma, sekarang ini suasananya agak berbeza. Terutamanya di bandar-bandar besar yang tinggal di ‘rumah tinggi’. Ada kala nama jiran sebelah pun kita tak tahu. Mahu jumpa, berselisih bahu pun susah.
Tidak menyalahkan sesiapa. Keadaan semasa dan perubahan zaman adakala menjadi faktor yang tidak disengajakan. Kebanyakan cara hidup di bandar-bandar mengejar masa dan kebanyakan masa dihabiskan di luar rumah. Keluar rumah dini hari, pulang hampir larut malam. Pada hujung minggu keluar bercuti atau bersantai.
Kalau dulu, rumah adalah syurga bagi kebanyakan keluarga. Di situlah kehidupan berlegar. Keluar hanya untuk bekerja dan anak-anak ke sekolah. Selebihnya dihabiskan di rumah. Sesekali sahaja keluar pada hujung minggu untuk pulang ke kampung atau ke kenduri. Juga, kebanyakan isteri kerjanya suri rumah. Jadi, memang masa di rumah semata.
Maka, punya banyak masa bersuai kenal dengan jiran tetangga. Bukan hanya di sebelah rumah, malah yang berlainan lorong pun dikenali. Ada kalanya, satu kampung atau taman kita kenal. Jumpa di kedai runcit, kita tegur, berselisih di pasar, kita angkat tangan. Terserempak di sekolah anak, kita sempat duduk berborak.
Nah, inilah cara hidup berjiran yang sebenar. Rapat dan saling mengenali. Jaringan sosial yang sihat untuk saling ambil peduli dan memahami. Ukhwah terjalin mencetuskan keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Kalau di bandar sekarang ini, susah untuk dilalui sebegitu. Naik satu lif pun, masing-masing sibuk dengan telefon.

Kredit Foto: Google
Cara Hidup Kejiranan Dulu-Dulu:
- Bertukar juadah – memang seronok kalau bertukar pinggan (makanan) dengan jiran kiri dan kanan kerana kita tahu nanti pasti mendapat balasan juga. Kalau emak beri kuih putu, esoknya mak cik sebelah balas karipap. Kalau bulan puasa, lagi meriah. Emak tidak perlu masak berjenis-jenis juadah kerana pasti ada yang memberi.
- Tolong angkat jemuran – kalau dulu sidai kain di tengah laman, kita tidak risau untuk keluar rumah atau tertidur. Andai kata hujan turun, ada jiran baik hati tolong angkatkan kain di jemuran dipindahkan ke kawasan berbumbung. Ada yang lebih rajin lagi, dibawa masuk ke rumahnya dulu, siap tolong dilipatkan.
- Tolong siramkan pokok – pernah tidak kalau kamu sekeluarga mahu berjalan lama atau pergi bercuti berhari-hari, emak akan pesan kepada jiran sebelah untuk tolong siramkan pokok bunga. Dan, ia pasti dijalankan dengan baik. Balik rumah tengok pokok keliling masih segar dan subur.
- Pinjam-meminjam – bukan pinjam duit! Tapi kalau setakat mahu pinjam garam, gula atau cili padi, antara jiran tidak segan-silu. Malah, tidak perlu dibayar balik. Seronok apabila emak suruh ke rumah mak cik di belakang rumah untuk minta daun pandannya. Kalau tiada di rumah, ambil saja kerana sudah dihalalkan dari awal.
- Piknik bawah pokok – ini yang seronok! Sesekali, mak-mak di kawasan yang sama akan mengadakan acara ‘potluck’, makan berjemaah di bawah pokok di depan laman rumah. Ada yang bawa kari ikan, sambal udang, sayur campur dan sambal belacan. Sambil makan, sambil berbual isu semasa, bergurau-senda.

Kredit Foto: Google
- Tumpang ke mana-kemana – buat jiran yang berkereta pasti tidak keberatan untuk menumpangkan jiran yang tiada kenderaan kalau mahu kemana-mana. Contohnya, kalau anak mereka satu sekolah, akan diangkut sama dengan anak jirannya. Kalau mahu ke pekan, siap-siap dibawa sama jiran untuk tumpang.
- Tolong pegang kunci rumah – susah untuk dapat jiran yang jujur dan amanah. Namun, ia bukan perkara biasa dulu-dulu apabila kita meninggalkan kunci rumah kepada jiran sebelah dengan alasan kalau ada apa-apa berlaku jiran boleh tolong tengokkan rumah.
- Tumpangkan anak – kalau ada apa-apa kecemasan, kita tidak perlu risau kalau tiada saudara-mara terdekat atau taska, kerana jiran sebelah boleh tolong jagakan anak kita sekejap. Upahnya hanya terima kasih. Ada yang akan kata, “Tak apa buat kawan aku.”
- Kenduri jiran umpama kenduri sendiri – ya, kalau sebuah rumah terdekat itu mengadakan kenduri, ia umpama kenduri kita juga. Kita akan membantu dari siang sampai ke malam. Kalau di kampung, siap bawa pisau setiap seorang untuk tolong memasak nanti.

Kredit Foto: Google
Must-Watch Video