Laman Utama

"Rindu Itu Masih Ada..." - M Daud Kilau Akur Andai Tiada Lagi Rezeki Kembali Menyanyi

gempak
Gempak
07/06/2022
18:26 MYT
Sponsor Banner
"Rindu Itu Masih Ada..." - M Daud Kilau Akur Andai Tiada Lagi Rezeki Kembali Menyanyi
Kalau namanya anak seni, sukar sekali untuk seseorang itu mengikis rasa kasih dan cinta pada bidang yang sudah sebati dengan jiwanya.
Demikian juga yang tertulis buat seniman veteran, Datuk M Daud Kilau.
Selepas lebih lima tahun berehat kerana memberi tumpuan pada masalah kesihatan, beliau tidak dapat menyembunyikan kerinduannya untuk kembali menghiburkan peminat-peminat.
Namun, kerinduan itu hanya mampu dipendam sahaja memandangkan kudratnya sangat terbatas dan keadaannya benar-benar tidak mengizinkan penyanyi yang digelar Raja Gelek Malaysia untuk beraksi di pentas.
Sekalipun diuji dengan masalah kesihatan, beliau masih menerima beberapa undangan daripada para peminatnya tetapi terpaksa ditolaknya.
Dalam masa sama, M Daud yang sangat masyhur dengan lagu Cik Mek Molek dan Gila Judi itu berkata, beliau sangat bersyukur kerana masih mampu meneruskan kehidupan berbekalkan simpanan yang dilakukan ketika meniti era kegemilangan.
“Saya berehat lama sangat tapi tak mengapalah saya bersyukur dengan rezeki ‘hujan lebat’ diberi Allah SWT sebelum ini yang sudah saya simpan airnya dalam takar (bekas) untuk saya menggunakannya di hari ‘kemarau’,” katanya berfalsafah kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya Kampung Sungai Balai Baruh.
Pertemuan dengan media itu diatur sempena Program Ziarah Kasih oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
M Daud atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang kini berusia 84 tahun menderita penyakit kencing manis sehingga menyebabkannya tidak boleh berdiri lama serta kebas kaki dan tangan.
Sepanjang enam tahun berehat, beliau turut mengakui mengalami kurang daya ingatan dan pendengaran.
Beliau kini bergantung bergantung dengan ubat serta masih perlu ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk, Hospital Teluk Intan dan Hospital Selayang untuk pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Keadaan kesihatan saya ketika ini kalau mahu menyanyi semula memang jauh lagi rasanya, nak kata tinggalkan pentas tidak, itu rezeki saya yang dilahirkan sebagai penghibur.
“Terserah jika Allah SWT suruh (beri kesempatan) masih boleh menyanyi, menyanyilah, kalau tak, tidak mengapa, setakat ini sajalah... saya redha,” katanya dalam nada sayu.
Ketika lawatan itu, M Daud turut mengenakan persalinan pentas yang sarat labuci sebagai menghargai pelawat yang datang menziarahinya.
“Kalau dulu, hampir setiap malam saya memakai baju labuci (untuk persembahan), inilah baju mencari duit tetapi sekarang tidak lagi.
“Hari ini saya memakai semula baju yang sudah lama saya tinggalkan dan rasa gembira sangat. Harap peminat dapat lepaskan rindu pada saya,” ujar beliau lagi.
Selepas kehilangan sumber pendapatan, penyanyi tersohor itu menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Karyawan Malaysia.
M Daud turut mendakwa, sudah lama beliau tidak menerima bayaran royalti daripada pihak bertanggungjawab.
“Tapi saya bersyukur masih ada yang masih ingat pada saya termasuk mereka yang berkunjung juga memberi sumbangan,” katanya lagi.
Sementara itu, Zahidi berkata, selain hadir bertanya khabar, beliau dan rombongannya juga menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran itu selain mendengar pandangan dalam menjaga kebajikan mereka.
Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live