Laman Utama

Rindu Melancong? Boleh Rentas Negeri Sama Status PKPP, Ini Syaratnya...

gempak
Asraf Aided
09/03/2021
23:45 MYT
Sponsor Banner
Rindu Melancong? Boleh Rentas Negeri Sama Status PKPP, Ini Syaratnya...
Berita gembira kepada anda yang rindu melancong dan tinggal di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Anda yang tinggal di kawasan PKPP dibenarkan merentas negeri ke negeri PKPP lain bermula esok untuk tujuan pelancongan.
Memetik laporan BERNAMA, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan merentas negeri itu di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar mulai esok.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, aktiviti tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan , Seni dan Budaya (Motac).
Antara SOP yang dimaksudkan adalah perlu untuk menggunakan kenderaan pelancongan berdaftar untuk melancong ke negeri PKPP.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama agensi-agensi terlibat serta atas nasihat KKM, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain sahaja dengan syarat perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Motac.
“Pergerakan hanya menggunakan kenderaan-kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac. Pergerakan mengunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Untuk makluman, negeri yang berada di bawah pelaksanaan PKPP adalah Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
Kata beliau, agensi pelancongan yang terlibat perlu mendapatkan kebenaran pihak polis untuk merentas negeri sekiranya perjalanan perlu melalui kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Selain itu, kenderaan pelancongan juga tidak dibenarkan untuk menyinggah di negeri di bawah PKPB jika mereka perlu melalui kawasan negeri berkenaan.
“Tempat penginapan dan aktiviti-aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB ke PKPP mulai esok.
“Ini memandangkan Pulau Langkawi telah menjadi Zon Hijau dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 20 Feb 2021 iaitu dua kes.
“Kebenaran gelembung pelancongan bersasar domestik ini juga terpakai untuk Pulau Langkawi. Walaubagaimanapun, negeri Kedah masih kekal PKPB,” katanya lagi.
Sumber : BERNAMA Kredit Foto : AWANI
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live