Pihak polis tidak pernah berputus asa bagi merungkaikan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sejak keputusan bedah siasat pada 7 Disember lalu.

Memetik laporan daripada Harian Metro, difahamkan risikan selama enam bulan sejak hari pertama kejadian kanak-kanak autisme itu telah dilakukan bagi menyelesaikan kes ini.

Hasil risikan, menjuruskan perlakuan itu dilakukan ibu bapanya menjadikan misteri kematiannya kian terungkai.

"Sejak itu pasukan forensik turun ke lokasi kejadian termasuk membuat pemeriksaan di blok kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi mencari petunjuk termasuk kediaman keluarga Zayn Rayyan.

"Hasil dapatan dan risikan selama enam bulan itu menyimpulkan pembabitan ibu bapanya dalam pembunuhan ini dan sebab itu mereka ditahan semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata sumber kepada Harian Metro.

Sumber yang sama mendedahkan, siasatan juga menjurus kepada keluarganya sendiri berikutan ketika kejadian mangsa bersama ibunya dan dijemput dari tadika pun oleh wanita terbabit.

“Dalam konteks ini, orang terakhir bersama mangsa adalah ibunya sendiri.

"Polis mendapat reman seminggu dan hasil dapatan siasatan akan digunakan bagi mendapatkan pengakuan mereka berdua," katanya.

Susulan itu, polis masih lagi menyiasat motif sebenar pembunuhan Zayn Rayyan selepas penahanan mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bermula kelmarin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Tambahnya, motif pembunuhan juga setakat ini masih dalam siasatan.

"Mereka berdua (ibu bapa) direman seminggu bermula hari ini (semalam) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Penangkapan mereka berpandukan hasil risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang," katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut belum dapat didedahkan buat masa ini.

"Ibu bapa terbabit ditahan jam 10.05 pagi semalam (kelmarin) oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada Disember tahun lalu, telah ditahan reman tujuh hari oleh polis sejak Khamis lalu.

Imbas semula, pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, keesokan harinya.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.

Setakat Januari lalu lebih 225 individu sudah dirakam percakapan selain 248 sampel DNA milik penduduk dan orang terdekat diambil bagi tujuan siasatan.

Sebelum ini polis menegaskan tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup.

Tambahnya, siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu.

Sumber: Harian Metro