Tidak pernah menyangka usia karier seninya akan mencecah ke usia 25 tahun, penyanyi popular Indonesia Datuk Seri Rossa mahu meraikannya bersama peminatnya dalam Konsert Rossa 25 Shinning Years pada 27 Mei ini.

Konsert mega itu bakal berlangsung pada 27 Mei ini di Istora Senayan, Jakarta.

Rossa memberitahu ia demi menghargai peminat setianya terutama di negara asalnya yang setia bersama sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian.

“Jangka usia 25 tahun itu tidak terasa buat saya. Saya tidak pernah rasa saya sudah bekerja cukup keras untuk sampai ke hari ini.

“Apa yang saya lalui hanya enjoy sahaja sambil mencari inspirasi untuk karya, video klip dan sebagainya. Hanya dinikmati saja, tak terasa lamanya.

“Konsert ini bakal jadi kerana ia membuktikan kesetiaan ‘pencinta rossa’ (kelab peminat Rossa) yang selama ini menyokong tidak kira usia tua dan juga generasi muda juga. Saya gembira mereka membesar dengan lagu-lagu saya,” katanya kepada Gempak.

Rossa berkata bergitu dalam sidang media secara virtual Konsert Rossa 25 Shining Years di Jakarta, Indonesia pada Selasa.

Mengenai pemilihan nama konsert ‘shinning’ atau berkilau, Rossa mahu membayangkan selama lebih dua dekad karier nyanyiannya sentiasa bersinar.

“Jadi konsert yang tinggal kurang 10 hari lagi ini cukup bermakna buat saya. Saya memilih nama shining kerana saya pasti semua ingin berkilau.

“Semua orang mahu bersinar dalam hidupnya, jadi selama 25 tahun ini aku menganggapnya berkilau iaitu bukan sekadar satu warna sahaja, namun warnanya bisa banyak, jadi aku memilih '25 Shining Years'," katanya lagi.

kira-kira 27 lagu akan dinyanyikan pada konsert itu nanti.

Antaranya, lagu-lagu hit seperti Terlanjur Cinta, Wanita Yang Kau Pilih, Hijrah Cinta dan Memeluk Bulan.

Konsert mega itu juga akan melibatkan empat pengarah muzik termasuk Andi Rianto dan Orkestranya.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa artis jemputan termasuk Ariel Noah, Afgan, Boy William dan Lyodra.

Selepas Konsert Rossa 25 Shining Years, Rossa akan turut mengadakan konsert di Surabaya dan Bandung pada Jun dan Julai depan.