Laman Utama
“Rumah Sekarang Tak Boleh Tampung Beg, Aksesori Saya” - Daiyan Trisha Kongsi Alasan Beli Kediaman Baharu
Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha mengakui alasan utama dia membeli dan ingin berpindah ke rumah yang lebih besar adalah disebabkan oleh barang-barang serta aksesori fesyen miliknya yang semakin banyak dalam simpanan.
Menurut Daiyan, sebagai seorang pempengaruh yang bekerja mempromosikan barangan berjenama di media sosial, dia memerlukan satu lokasi penyimpanan yang luas sementelah rumahnya kini sudah tidak boleh menampung barang-barang yang dihantar saban minggu oleh agensi-agensi PR.
“Sebab utama saya mencari rumah landed adalah disebabkan rumah saya sekarang tidak dapat menampung barang-barang yang saya ada sekarang. Setiap minggu akan ada pelbagai barang-barang seperti beg, baju dan cermin mata sampai ke rumah.
“Jadi, sebab itu saya memang perlukan tempat baharu untuk menyimpan barangan tersebut. Dalam masa yang sama, memang sudah menjadi impian untuk memiliki rumah landed yang ada kolam renang. Untuk kepuasan diri saya sendiri,” katanya kepada Gempak.
Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Satil EH! yang diadakan di Panggung Wayang Dadi di ibu kota baru-baru ini.
Melanjutkan bicara mengenai kesungguhannya untuk memiliki rumah baharu, penyanyi lagu penat itu berkata, mungkin disebabkan oleh doa ibu dan bapa dan kerja kerasnya selama ini mencari rezeki menyebabkan dia mampu untuk memiliki aset yang bernilai tinggi.
“Ketika awal-awal merancang untuk memiliki rumah tersebut, memang bukan mudah. Ada banyak cabaran yang saya perlu lalui pada waktu itu.
“Tapi saya rasa, berkat doa ibu bapa, berkat usaha saya serta kerja keras, mungkin sebab itu saya dapat memiliki kediaman baharu. Alhamdulillah dapat beli rumah impian dan cantik,” katanya lagi.
Sekitar sebulan lalu, Daiyan berkongsi gambar yang memaparkan rumah baharunya. Selain itu, Daiyan turut memuat naik video house tour untuk pengikutnya.
Must-Watch Video