Ramai yang tertanya-tanya suara siapakah yang menyanyikan lagu Lenggang yang juga runut bunyi untuk Drama The Maid yang sedang bersiaran di Astro Ria.

Lagu yang berentak pop cukup catchy serta menggabungkan pelbagai elemen tersebut merupakan nyanyian Syafiq Naser.

Syafiq Naser sebelum ini sangat dikenali di platform media sosial Instagram dan kini menceburi bidang nyanyian.

“Ini merupakan single pertama dan tak sangka diberikan ia peluang menjadi runut bunyi untuk drama popular. Sebagai orang baharu dalam industri, saya bersyukur dengan peluang yang ada dan menganggap ini permulaan yang baik.


“Walaupun Lenggang baru sahaja dilancarkan tetapi maklum balas yang diterima begitu baik. Saya menghargai setiap komen dan kritikan dan harap lagu ini akan diterima dengan baik oleh semua,” kata penyanyi berusia 26 tahun ini.

Lenggang sudah dilancarkan secara rasmi pada 13 Januari yang lalu dan pastinya lagu ciptaan AmzarSabri, Muaffirah dan Dayne itu begitu dekat dengan perwatakan Shafiq yang happy go lucky.

“Ini juga menjadi pengalaman pertama saya masuk ke studio rakaman. Bukan mudah sebenarnya nak menyiapkan lagu ini tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak membantu terutamanya mencari kesesuaian lenggok dan feel.

“Lagu ini pula mempunyai pelbagai karektor dan saya perlu mendalami satu persatu terlebih dahulu. Syukurlah semuanya berjalan dengan lancar dan saya tak berhadapan dengan masalah besar,” katanya.

Tambah anak kelahiran negeri Perak itu lagi, meskipun negara masih berdepan dengan pandemik Covid 19, dia sempat menyiapkan video muzik Lenggang pada penghujung Disember lalu.

Menariknya, video muzik tersebut menuntut dirinya untuk sama-sama menari dan membawakan pelbagai karektor termasuklah watak bapa bermisai tebal.


“Saya memang takut bila dapat tahu kena menari. Dengan tak ada praktis saya beranikan diri sahaja. Mujurlah penari yang terlibat banyak memberikan tunjuk ajar. Kalau tak haru-biru juga.

“Dari pagi membawa ke malam, barulah selesai proses rakaman. Ini memang cabaran baru buat saya. Apa yang penting hasilnya disukai ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya lagi.

Lenggang sudah pun berada di saluran YouTube Indigital Music sejak 13 Januari yang lalu. Lagu ini juga boleh distrim di semua platform digital.