Pertama kali menyanyi dan terus menghasilkan sebuah single raya, pempengaruh terkenal tanah air, Ryan Bakery juga teruja apabila punya kesempatan berkolaborasi dengan penyanyi Andi Bernadee.

Kedua-duanya yang diketahui mempunyai chimestry kuat tidak berfikir dua kali untuk menolak tawaran digabungkan untuk lagu raya yang diberi judul Raya Last Minit.

Apa lagi apabila lagu yang tercetus dari syarikat pengurusan FYP Media itu juga dihasilkan oleh komposer terkenal iaitu Firdaus Rahmat bersama sama dengan Iqie Hugh dan John Jeeves.

Malah hal yang membuat mereka berdua tertarik untuk mendendangkan Raya Last Minit secara duet adalah pengisian kisah dalam lagu tersebut.

“Lagu ini menceritakan situasi persiapan raya last minute. Semua persiapan untuk menyambut raya dilakukan di saat akhir contohnya lupa nak selit duit dalam sampul raya, pakai songkok secara senget dan lupa beli tiket untuk balik raya.

“Kesemua ini tertera di dalam lirik untuk lagu Raya Last Minit dan para pendengar pasti akan rasa dekat kerana ada sebahagian daripada kita pernah berhadapan dengan situasi beraya di saat-saat akhir. Suasana kelam kabut yang dilalui itu dijadikan idea utama untuk Raya Last Minit ini,” ujar Ryan.

Tidak hanya lagu, video muzik Raya Last Minit turut dihasilkan dengan tajaan sepenuhnya oleg Snickers.

Menjelaskan tentang konsep video muzik ini, Ryan berkata: “Sebenarnya banyak idea muncul saat kami mahu menghasilkan konsep MV. Tapi kita pilih kisah dua beradik yang sibuk bekerja sehingga terlupa membeli tiket.

“Mereka gagal membeli tiket dan akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke kampung halaman. Pelbagai insiden lucu dan menarik perhatian sepanjang perjalanan pulang. Akhirnya apabila sampai di kampung, kesemua ahli keluarga dan saudara mara tiada di rumah. Rupanya mereka beraya di bandar”.

Sementara itu Andi berharap agar Raya Last Minit akan menjadi salah satu lagu raya wajib dengar setiap tibanya Syawal dan menjadi evergreen.

“Saya sangat berharap lagu ini boleh menjadi salah satu lagu raya yang wajib didengar sampai bila-bila, maksud Andi biar jadi evergreen. Sebenarnya ini lah lagu raya yang pertama Andi rakamkan sepanjang karier seni Andi. Masa awal kemunculan dulu Andi ada single lagu sahur yang berjudul Semalam Sahur Di Mana”, ujar Andi.

Lagu Raya Last Minit kerjasama Warner Music Malaysia dan FYP Media ini boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 31 Mac 2023.

Video muzik rasmi Raya Last Minit boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia bermula 31 Mac lalu.