Sekilas
- Khairul Aming menjelaskan dia tidak boleh mengawal tindakan scalper yang membeli dan menjual semula Sambal Nyet pada harga tinggi.
- Khairul Aming menegaskan tidak wajar tuduhan bahawa dia sengaja membiarkan scalper beroperasi kerana produk sudah berada di tangan pihak lain.
- Khairul Aming berharap orang ramai faham situasi ini dan tidak meletakkan segala perkara di bawah kawalannya.
Usahawan dan pemilik restoran Rembayung, Khairul Aming membalas kenyataan individu yang mendakwa dirinya seolah-olah sengaja membiarkan Sambal Nyet dijual semula oleh scalper pada harga lebih tinggi.
Individu itu mendakwa ramai scalper menjual Sambal Nyet pada harga sehingga RM25 sebotol selain turut mempersoalkan sama ada Khairul Aming menyedari perkara tersebut atau sengaja tidak mengambil tindakan.
“Ramai sangat scalper menjual sambal nyet ni. Harga sampai RM25 sebotol. @khairulaming tak perasan atau just don't care?
“Yes, mmg selagi ada demand, fomo, memang akan sentiasa wujud scalper. Tapi dah too much. Sama macam Rembayung.
“Like this is the business model from my pov. Unpopular opinion but I said what I said,” dakwanya.
Menjawab dakwaan tersebut, Khairul Aming tampil menjelaskan dirinya tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan pihak yang membeli produk berkenaan sebelum menjualnya semula.
Tegasnya lagi, adalah tidak wajar untuk menganggap dirinya sengaja membiarkan perkara tersebut berlaku sedangkan Sambal Nyet sudah berada di tangan pihak lain.
“Sambal tu dah kat tangan dia apa saya boleh buat. Tak akan saya nak pergi ketuk pintu rumah dia. Saya pun tak kenal pun siapa yang jual balik tu.
“Saya harap orang faham tak semua benda saya boleh kawal. Kata-kata dilontarkan kat keyboard macam saya sengaja buat benda ni. Sambal tu dah di tangan dia,” tegasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Khairul Aming juga berharap orang ramai dapat memahami situasi berkenaan dan tidak meletakkan segala perkara yang berlaku di bawah kawalannya.
“Tolong beritahu saya apa yang boleh dibuat kemudian saya akan guna cara penyelesaian anda.
“Kami berhempas pulas nak bagi yang terbaik untuk semua orang. Tapi tolong faham tak semua benda saya boleh kawal dalam dunia ni,” katanya.
Sementara itu, rata-rata netizen juga turut meluahkan rasa geram dengan dakwaan individu tersebut dan menyifatkan sebagai tidak adil untuk terus membuat tuduhan melulu sedangkan dirinya mempunyai pilihan untuk tidak membeli daripada scalper.

