Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) hari ini mengisytiharkan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Pitas berikutan penemuan virus itu dalam babi yang diternak di daerah itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata dengan pengisytiharan itu, jabatan berkenaan telah diberikan kuasa di bawah Subseksyen 45(1) Enakmen Haiwan 2015, untuk mengambil tindakan bagi mencegah penularan wabak itu.

"Ini termasuk memusnahkan babi di kawasan terjejas, mengawal pergerakan babi dan penjualan produk daging babi yang berasal dari kawasan terjejas.

“Pada masa sama, kampung dan premis terjejas akan dinyahkuman dan kerajaan menerusi JPVS akan melaksanakan kempen kesedaran untuk meningkatkan kefahaman orang ramai tentang penyakit ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Jeffrey berkata pemusnahan kesemua babi yang terjejas akan dilakukan secepat mungkin kerana ASF merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan tiada ubat atau vaksin untuk mencegah penyakit itu.

Beliau berkata kerajaan akan menimbang untuk memberikan pampasan kepada penternak yang babi mereka dimusnahkan oleh JPVS, berdasarkan kadar yang akan ditentukan kemudian.

"Matlamat utama kami adalah untuk menghentikan penyakit ini daripada merebak ke ladang babi secara komersial di Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau," katanya.

Pada masa ini, penyakit ASF tidak menjejaskan pengeluaran daging babi untuk kegunaan domestik yang dianggarkan bernilai RM300 juta setahun.

"Kami mengambil maklum keputusan kerajaan Sarawak yang melarang babi dan produk dagingnya dari Sabah. Bagaimanapun, kami yakin larangan itu tidak akan memberikan kesan yang besar kepada industri daging babi di Sabah," katanya dan mengulangi bahawa ASF yang merupakan penyakit khusus untuk babi, tidak berbahaya kepada manusia.


Sumber: Astro Awani
Kredit foto: Sinar Harian