Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa lakonan Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza dan Nas-T sekali lagi melakarkan momen manis apabila berjaya meraih RM30 juta.

Berita gembira itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram para pelakon Air Force The Movie: selagi Bernyawa hari ini.

“Alhamdulillah! RM30 juta tercapai setelah empat minggu #AirForceTheMovie ditayangkan! Terima kasih Malaysia dan Singapore! Yang belum tengok, esok tiket murah, go go go #SelagiBernyawa!” tulisnya.

A post shared by NAS-T?? (@nvst1)


Tidak dinafikan sejak Air Force ditayangkan, filem ini mendapat respon positif dari peminat filem tempatan.

Malah tidak kurang juga ada yang mengambil peluang untuk menonton sehingga berulang kali bersama keluarga tersayang dan berharap ada Air Force The Movie 2 kelak.

Sebelum ini, Air Force The Movie berjaya merekodkan kutipan RM8 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dipersembahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem ini mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh. Di Malaysia, pasukan TUDM melancarkan misi untuk menyelamatkan mereka.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa juga menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As'ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Jadi kepada yang belum menonton, dapatkan tiket anda sekarang dan saksikan pertempuran hebat Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di pawagam sekarang.