Aidilfitri 2024 merupakan sambutan Hari Raya paling hiba buat penyanyi, Kaka Azraff apabila dirinya terpaksa menyambut lebaran tanpa dua insan tersayang iaitu ibu dan kakaknya.

Raya Tanpa Orang Tersayang

Berkongsi pengalaman tentang perayaan tanpa dua individu penting dalam hidup, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 35, mengakui sangat terkesan dengan pemergian ahli keluarganya itu sehingga hampir membatalkan niat untuk menyambut Aidilfitri.

“Kakak meninggal mengejut, dia muda lagi 39 tahun, dia tinggalkan empat orang anak, dia ‘pergi’ sebelum puasa. Kakak meninggal sebab Meningitis (jangkitan kuman), demam yang berpanjangan selama dua minggu dan jangkitan kuman dia dah sampai ke otak.

“Sebenarnya ini patutnya Raya pertama tanpa ibu Kaka, tapi dia jadi tanpa ibu dan kakak. Jadi Raya ini kalau ikut Kaka, Kaka tak nak sambut, tapi sebab Kaka ada mereka (suami dan anak-anak) dan anak saudara, Kaka kena kuat.

“Kita yang bersedih kenapa mereka yang perlu terkesan? Jadi setiap kali beraya tu Kaka selalu paksa diri untuk budak-budak ni. Itu yang Kaka buat sebenarnya,” kongsinya.

Ambil Tanggungjawab Jaga Anak Arwah Kakak

Kaka ditemui selepas sidang media The Hardest Singing Show yang berlangsung di The Gardens Theatre, The Gardens Mall Mid Valley City, Kuala Lumpur, dalam pada itu sempat berkongsi bahawa dirinya mengambil tanggungjawab untuk menjaga empat orang anak arwah kakaknya.

“Abang ipar Kaka anak tunggal, jadi siapa dia nak harapkan? Kaka dan adik sahaja, kami sama-sama tolong dia (abang ipar) untuk besarkan anak-anak.

“Anak-anak dia sekarang duduk dengan adik Kaka, abang ipar Kaka kerja. Adik Kaka dia sendiri yang tawarkan diri untuk jaga. Jadi Kaka pun sama-sama turut serta tolong jaga anak arwah kakak, sebab mereka pun memang rapat dengan Kaka daripada kecil,” katanya.

Sekadar info, Kaka bakal beraksi dalam program realiti terbaru terbitan Astro, The Hardest Singing Show yang bakal bermula bersiaran secara langsung selama 10 minggu bermula 12 May 2024 di Pusat Konvensyen CIDB Cheras.

Selain Kaka, peserta yang berjaya disenarai pendekkan dalam program nyanyian ini antaranya Zizi Kirana, Putera Muhammad, Aepul Roza, Ayda Jebat, Aisha Retno dan De Fam.

Peserta akan diadili oleh tiga juri tetap laitu Zizan Razak, Datuk Seri Rossa dan Edry Abdul Halim.

The Hardest Singing Show akan dihoskan oleh Rina Nose dan Nabil Ahmad.

BERITA TRENDING: “Saya Tak Terkilan Kontrak Ditamatkan, Cuma…” - Kaka Azraff Mahu Warner Music Beri Alasan Jelas

BERITA TRENDING: Uyaina Arshad Simpati Dengan Nasib Kaka Azraff - "Jangan Demotivated, Ini Sebahagian Daripada Jihad"