Berita
Sampai Berlumpur Kasut, Tengoklah Ni, Apa Faizdickie Buat Di Pulau Kucing!
Baru-baru ini sebuah lokasi di Pekan, Pahang menjadi tumpuan apabila ia menempatkan ratusan haiwan peliharaan khususnya kucing-kucing terbiar.
Dikenali sebagai Pulau Kucing, lokasi yang terletak di Pulau Keladi itu benar-benar menarik perhatian mereka yang merupakan pencinta kucing.
Bahkan keunikan pulau tersebut turut menarik minat selebriti media sosial, Faizdickie untuk merasai sendiri pengalaman rentetan selepas terbaca artikel yang disiarkan Gempak.
BACA: #GempakSpot: Peminat Kucing! Ada Pulau Kucing di Pekan, Pahang. Boleh Melawat Sambil Menderma!
Menurut Faiz, atau nama sebenarnya Nasrul Faiz Abu Azal, 31, dia terpanggil untuk berkunjung ke Pulau Kucing itu semalam sebagai salah satu usaha dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.
"Saya terbaca kisah mengenai Pulau Kucing di Astro Gempak. Tak sangka hasrat saya untuk ke sana tertunai apabila semalam saya berkesempatan untuk melawat pulau tersebut untuk melihat lebih dekat kucing-kucing di sana.
"Ada lebih kurang 100 ekor kucing. Di bahagian pulau sahaja ada 50 ekor. Kesemuanya merupakan kucing-kucing terbiar," katanya kepada Gempak.
Menurut Faiz lagi, dia turut berkesempatan untuk memberi makan kepada kucing-kucing yang berada di pulau berkenaan.
Faiz berkongsi pengalaman dirinya ke Pulau Kucing itu menerusi satu entri video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
"Boleh main-main dengan kucing, kambing, itik, arnab dan lain-lain. Sesambil tu boleh borak-borak ngan sukarelawan kat sini yang mana rata-ratanya merupakan warga asing seperti Maria and Luca dalam video abang ni. Best tau!
"Dan kalau kau datang abang cadangkan supaya kau bawak la sedekah makanan kucing ke apa sebab tempat ni amat memerlukan bantuan dari orang awam," katanya.
Perkongsian video Faizdickie itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata memuji tindakan Faizdickie yang sanggup meredah laluan berlumpur untuk sampai ke Pulau Kucing.
"Kami duduk Kuantan pun baru tahu. Insya-Allah nanti nak pi. Kami pun sayang kucing sangat-sangat," tulis salah seorang netizen.
Must-Watch Video