Pencipta lagu Berakhirlah Pencarianku, Ikhwan Fatanna memohon orang ramai agar tidak menyalahkan dirinya berhubung penukaran penyanyi lagu tersebut di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 37 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 November depan.

Jelas Ikhwan, dirinya sendiri dimaklumkan mengenai penukaran tersebut adalah pada sehari sebelum sidang media pengumuman senarai 30 buah lagu yang berjaya dalam sebuah majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Malah, dia akui sedih dan kecewa dengan perkhabaran tersebut namun percaya apa yang berlaku diluar kawalannya.

“Mohon jangan salahkan saya, saya dapat tahu keputusan ini pun lewat petang Khamis, esoknya Jumaat, sidang media.

“Kenapa ada yang marah saya tentang lagu Berakhirlah Pencarianku. Saya juga turut bersedih tapi saya usaha berdamai dengan keputusan yang telah dibuat.

“Tapi hidup ini bukan atas kawalan saya. Saya dah galas dan jalankan tanggungjawab menciptakan lagu untuk anda semua, sampai hati marah dan salahkan saya,” jelasnya.

Ikhwan meluahkan rasa kecewanya itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya siang tadi.

A post shared by Ikhwan Fatanna / Blaine Bakri (@ikhwanfatanna)

Difahamkan, lagu nyanyian asal penyanyi Hafiz Suip dan Ernie Zakri itu bakal dibawakan oleh penyanyi gantian iaitu Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq.

Dalam pada itu, Ikhwan menjelaskan dia perlu menjaga hati banyak pihak termasuk peminat, penyanyi asal, penulis lirik dan pihak yang membantu mempromosikan lagu tersebut.

“Saya menjaga hati semua orang, peminat yang undi lagu ini, syarikat rakaman yang bantu promo lagu dan beri peluang kerja pada saya, Hafiz dan Ernie yang juga sahabat saya, penyanyi ganti Wani Kayrie dan Syafiq juga kawan saya.

“Jadi jagalah juga hati saya dan pencipta lagu bersama Wan Saleh serta lirik daripada Datuk A.Aida,” tambahnya.

Dalam masa sama, sebagai pencipta lagu, pastinya dia mahukan penyanyi asal yang akan membawakan lagu tersebut namun reda dengan keputusan yang telah dibuat.

“Impian saya pastinya melihat Hafiz dan Ernie kerana mereka yang bawa lagu ini ke tempat yang lebih baik sedangkan lagu kami hanya biasa-biasa.

“Betul kata peminat, kalau bukan kerana Hafiz dan Ernie lagu ini tidak kemana. Saya terima dan akuinya,” tambahnya.

BACA: Apa Cerita? Ernie Zakri & Hafiz Suip Takkan Nyanyi Lagu ‘Berakhirlah Pencarianu’ Di SFMM37, Bakal Digantikan…

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!