Laman Utama
Sandra Sempat Tunai Hasrat Ibu Sebelum Pergi
Meskipun jasadnya sudah tiada, namun nama Sandra Dianne sentiasa ada bersama peminatnya.
Menyusul pelancaran single Allahyarham berjudul Sandra bulan lalu, video muzik rasminya pula dilancarkan pada hari ini.
Menerusi sidang media virtual yang diadakan oleh Sony Music Malaysia sebentar tadi, ibu Sandra, Nor Syakinah berkongsi rasa terharu mendengar lagu terakhir nyanyian anaknya itu.
"Sejak single ini mula dilancarkan pada 18 Disember tahun lalu, saya terkejut ketika mula-mula mendengarkannya, terkejut kerana sudah lama saya berhasrat untuk dia menyanyikan genre sebegitu.
"Saya pernah memberitahu arwah yang saya mahu dia menyanyikan genre itu, tak sangka dia betul-betul menghasilkannya.
"Ia merupakan satu kejutan untuk saya, dia sudah tunaikan hasrat saya sebelum dia pergi," katanya.
Muzik Video Sandra memaparkan bayang-bayang seorang wanita mirip Allahyarham yang menyampaikan lagu tersebut.
Perkara itu turut diakui Syakinah yang mengatakan lenggok pergerakan wanita berkenaan mampu mengubati rindunya terhadap Sandra.
"Untuk muzik video ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada individu di sebalik skrin itu, tidak kira sesiapa pun dia, dia mampu membuat lenggok pergerakan dan cara Sandra dengan sangat baik.
"Sedikit sebanyak, ia mampu mengubati rindu saya terhadap Allahyarham," katanya lagi.
Muzik video rasmi Sandra telah dilancarkan pada pukul 4 petang tadi menerusi platform Vevo dan YouTube rasmi (Sandra Dianne Official) untuk tontonan umum.
Muzik video tersebut turut menampilkan kumpulan Here Comes July sebagai penampilan khas.
Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia pada 11 September 2020 selepas terlibat dalam nahas jalan raya. Lebih memilukan, Allahyarham ketika itu sedang bertanding untuk program Big Stage musim ketiga.
Sandra sebelum ini pernah popular dengan lagu Hey Kau, Terkemuka, Tulus dan Jelaskan.
Al-Fatihah buat Allahyarham Sandra Dianne, semoga rohnya dirahmati Allah SWT.
Must-Watch Video