Laman Utama
Sanggup Berhujan, Tunggu Lebih 2 Jam, Ribuan Peminat Sambut ‘The One & Only’ Michelle Yeoh!
Penantian ribuan peminat berbilang bangsa tidak berganjak meski hujan turun dan cuaca tidak mengizinkan demi menyambut kepulangan pesohor Tan Sri Michelle Yeoh ke Malaysia.
Keterujaan bertemu dengan Yeoh terbalas apabila bintang yang melakar sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia itu ‘muncul di depan mata’ sekitar pukul 6 petang.
Michelle yang baru dinobatkan sebagai Aktres Terbaik Oscar menerusi filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO) menunaikan janjinya bertemu peminat di tanah air menerusi acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet yang diadakan di Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur petang tadi.
Advertisement
Muncul dengan gaya sederhana, namun sikap ramah Yeoh terlihat elegan dengan taraf seorang superstar yang dibanggakan seluruh dunia.
“Saya sangat gembira melihat dan bertemu dengan anda semua. Terima kasih kerana telah datang bertemu saya di sini,” ujar Michelle Yeoh yang disambut sorakan dan tepukan penuh teruja oleh para peminat.
Dalam pertemuan yang menyaksikan dirinya mengambil gambar, selfie dan menurunkan tandatangan kepada peminat, Yeoh turut menjawab soalan yang diberikan peminat.
Yeoh meminta agar setiap individu jangan berhenti bermimpi sekaligus terus belajar untuk memastikan diri mencapai impian yang diinginkan.
“Teruskan bermimpi dan belajar dalam mengejar impian,” pesannya penuh sederhana.
Bintang berusia 61 tahun itu juga dilihat asyik tersenyum, melambaikan tangan dan menyapa ribuan peminatnya saat berjalan di hamparan karpet merah terpanjang yang disediakan khas untuk meraikannya.
Sebelum bertemu peminat, Yeoh telah pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak pada minggu lalu.
Beliau membawa pulang bersama trofi kemenangan yang diperoleh pada edisi ke-95 Oscar ke pangkuan ibunya, Datin Janet Yeoh sebelum ‘mempersembahkan’ kemenangan kepada mendiang bapanya Datuk Yeoh Kian Teik, dengan menziarah pusara mendiang.
Terdahulu menerusi pencalonannya di Oscar, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Yeoh juga telah meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29, menerusi watak ikoniknya, Evelyn Quah Wang.
Must-Watch Video