Hiburan
Sanggup Naik Bas Jumpa Peminat, Song Ji Hyo Minta Maaf Kerana Lewat
Pelakon dan juga anggota Running Man, Song Ji Hyo memohon maaf kepada peminat Malaysia kerana tiba lewat untuk bertemu mereka.
Dengan menaiki sebuah bas Hop On Hop Off, Song Ji Hyo atau lebih mesra dengan panggilan Ji Hyo tiba di pusat membeli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, kira-kira jam 10.30 pagi.
Sebaik saja melihat Ji Hyo menuruni bas, peminat mula menjerit memanggil nama figura popular sambil tidak melepaskan peluang merakamkan momen tersebut.
Ji Hyo yang agak terkejut dengan sambutan luar biasa itu mula meminta maaf sebaik saja berdiri di pentas utama.
"Apa khabar? Maaf kerana saya telah membuat anda semua menunggu lama.
"Gembira dapat kembali ke sini semula, tak sangka ramai yang hadir dan saya sangat terharu. Terima kasih semua," katanya.
Dalam pada itu, peminat yang hadir meluahkan rasa gembira apabila melihat sikap Ji Hyo begitu ramah malayan karenah mereka.
Pelbagai gaya comel dibuat oleh Ji Hyo ketika diminta memberikan 'pose' sewaktu peminat memanggil namanya untuk merakamkan fotonya.
Sementara itu, menerusi laman sosial Twitter peminat masih lagi berkongsi foto dan juga video menarik anggota wanita Running Man itu dengan menggunakan hashtag #songjihyoinmy.
Ramai yang teruja melihat perwatakan Ji Hyo sama seperti apa yang ditunjukkan dalam program Running Man.
Mereka juga ketawa apabila melihat Ji Hyo yang adakalanya nampak 'blur' dengan soalan-soalan diajukan oleh pengacara dan juga situasi yang berlaku di sekelilingnya.
Bagaimanapun perkara-perkara itulah yang membuatkan para peminat di Malaysia menyukai aktress tersebut.
Terdahulu, kehadiran Ji Hyo ke negara ini pada Sabtu lalu adalah sempena perasmian pembukaan Shoppen iaitu sebuah jenama kasut fesyen terbesar Korea Selatan.
Must-Watch Video