Posting terbaru seorang individu ini membuktikan Malaysia mampu hidup harmoni dan saling hormat menghormati walaupun berlainan bangsa dan agama.

Kisah terbabit menceritakan dua individu berbangsa Cina sanggup menunggu masa untuk berbuka walaupun tidak berpuasa.

Menurut individu dikenali sebagai Mohd Fuzaimie Faizan, dia pada awalnya disapa oleh seorang warga emas yang bertanyakan waktu berbuka puasa.

Katanya, walaupun telah memberitahu yang dia boleh terus menjamu selera, namun warga emas bersama anaknya itu tetap menunggu untuk makan bersama.

"Salam ramadan ke-22. Uncle ni tanya aku, pukul 7 ke baru boleh makan? Aku cakap, pukul 7.10 baru kami boleh makan tapi untuk uncle, silakan makan sekarang.

"Uncle tu cakap tak mengapa saya tunggu ,kita makan sama sama.

"Aku cakap, jangan tunggu uncle lambat lagi ada lagi 15 minit tapi dia tetap tak makan," katanya.

Terharu dengan tindakan individu terbabit, Mohd Fuzaimie mengucapkan terima kasih kerana menghormati umat Islam yang sedang berbuka.

Posting berkenaan kemudian tular apabila mula dikongsi oleh netizen di Twitter.

Rata-rata ruang komen pada Facebook Mohd Fuzaimie juga menerima kata-kata positif berserta pujian.