Mungkin ada yang sudah tidak sabar untuk menyaksikan filem terbaharu lakonan MK K-Clique dan Azira Shafinaz.

Tidak hanya bergenrekan komedi romantik yang boleh ditonton oleh seisi keluarga, malah, pengisian yang santai dan memberi cerminan terhadap industri hiburan tanah air juga menyebabkan filem ini dinantikan oleh orang ramai.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai mendedahkan yang pihak produksi tidak menetapkan sebarang target dari segi kutipan selepas filem berkenaan ditayangkan di Astro First pada hari raya pertama kelak.

Gayatri berkata, apa yang penting adalah penonton terhibur dengan jalan cerita dan karenah lucu para pelakon yang membintangi filem berkenaan.

“Untuk Astro First, jujurnya saya tidak tahu. Saya harap kita boleh dapat 40,000 hingga 50,000 belian.

“Kalau kita boleh dapat 200,000 belian lagi bagus. Tapi walau apa pun, cerita ini sangat sesuai dijadikan bahan hiburan untuk keluarga, terutama pada hari raya,” katanya kepada Gempak.

Bunga Dan Kayu mengisahkan tentang Noah (lakonan MK) seorang selebriti terkenal tanah air sengaja memilih Bunga (Azira) sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah.

Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon. Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1,001 bencana, bukan hanya pada Bunga tetapi Noah juga.

Selain MK dan Azira, Bunga Dan Kayu juga membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Zalif Sidek, Azad Jasmin, Kazar, Elly Arifin serta salah finalis Big Stage 2022, Yazmin Aziz.

Bunga Dan Kayu bakal temui penonton Syawal ini iaitu bermula 3 Mei 2022, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.