Meskipun sarat hamil, pelakon Raja Ilya sempat merakamkan semula lagu Bollywood berjudul Zara Zara yang pernah dinyanyikan oleh Bombay Jayashri.

Lagu terbabit pernah menjadi runut bunyi filem Rehnaa Hai Terre Dil Mein diterbitkan pada tahun 2001 selain dibintangi Madhavan, Saif Ali Khan dan Dia Mirza.

Kata Ilya, dia telah ditawarkan oleh komposer dan penerbit muzik dari Malaysia, Krishinthen Shanmugam sekitar September tahun lalu untuk menyanyikan semula lagu itu.

"Lama juga saya fikir untuk menyanyikan lagu ini atau sebaliknya. Tambah pula saya sedang berbadan dua. Lagipun saya bukan penyanyi profesional.

"Selama ini pun saya tak pernah menyanyikan lagu Bollywood secara serius atau profesional.

"Saya awalnya tak yakin dengan diri sendiri. Tapi komposer itu yakin saya boleh melakukannya. Malah dia siap menghantar demo lagu itu untuk saya cuba nyanyikan," katanya.

Akhirnya, isteri kepada Trent Garret itu menerima tawaran komposer terbabit dan melancarkan lagu itu di platform YouTube pada petang Jumaat.

"Fikir punya fikir, saya akhirnya bersetuju dan mencabar diri. Akhirnya saya sendiri jatuh hati dengan lagu itu yang diakui sangat popular dan ramai orang suka. Malah ramai yang menyanyikan lagu itu dan dikongsi di YouTube.

"Bagaimanapun, bukan mudah proses rakaman. Makan bulan juga. Lagipun saya di Perth, Australia dan komposer itu di KL. Tapi dengan kemajuan teknologi, proses rakaman itu tetap berjalan seadanya.

"Tak saya nafikan, banyak juga kesilapan dilakukan semasa rakaman. Lalu, komposer kena bimbing saya banyak kali untuk memperbetulkan kelemahan dan kekurangan. Termasuklah cara sebutan bahasa Hindi untuk lagu itu selain tempo," tambahnya.

Proses mixing dan mastering lagu terbitan Vineyard Records itu telah dibikin di studio muzik di United Kingdom, London.

Malah lagu itu dalam versi bahasa Tamil akan dinyanyikan selebriti Bollywood bernama Sophie Choudhry.

A post shared by Raja Ilya (@rajailya)