Penyanyi rap sensasi kumpulan K- Clique, MK, 24, dipilih untuk memikul tanggungjawab sebagai duta pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI Group Sdn Bhd sejak awal Januari lalu.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin berkata, dia percaya tanggungjawab yang digalas itu datang dengan amanah yang besar.

"Sejujurnya saya mengambil masa memikirkan untuk menyatakan persetujuan sebagai duta pusat akademik berkenaan.

"Saya 'dirisik' pihak mereka sekitar Oktober tahun lalu. Ketika itu pun saya sudah mula diundang pihak berkenaan sebagai panel jemputan bersama teman artis lain.

"Ketika itu fungsi dan peranan saya lebih kepada memberi semangat dan mendorong calon SPM 2020 yang berdepan pengalaman dan cabaran berbeza di era pandemik COVID-19 ini," katanya.

Jelas MK lagi, dia mula memeterai perjanjian bersama pusat akademi itu hujung tahun lalu.

"Cuma dalam hati saya terdetik kenapa pihak PTTI berkenan menyunting saya sebagai duta. Saya percaya ada calon lain yang lebih baik berbanding diri sendiri.

"Namun rezeki itu tak pernah salah alamat. Jadi amanah yang digalas ini akan saya sebaik mungkin.

“Mungkin juga saya ada pencapaian dan sedikit pengaruh yang boleh mendekatkan PTTI dengan generasi masa kini yakni pelajar SPM," katanya yang bergelar duta pusat akademik itu selama setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dengan nama Cikgu Fana berkata, pemilihan MK seiring dengan aura, personaliti dan pengaruhn dimilikinya

"Sebagai pusat akademik yang khusus kepada pelajar SPM, kami optimis kehadiran MK boleh terus mendekatkan kami dengan golongan sasaran.

"Kita sedar, pesonanya dalam kumpulan K-Clique cukup hebat dan berpengaruh. Apa saja yang dikongsinya mendapat perhatian ramai.

"Kita mempertimbangkannya juga dengan pelbagai faktor tambahan. MK ada sesuatu yang boleh kita gunakan untuk manfaat, tujuan dan contoh positif terutama di saat isu pendidikan kini berdepan cabaran getir," jelasnya.

Selain MK, pelakon Mira Filzah juga dipilih sebagai duta pusat tuisyen yang sama sebelum ini.

PTTI yang ditubuhkan sekitar tahun 2016 sudah berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pelajar lulusan SPM dengan keputusan cemerlang hingga tahun lalu.

PTTI kini memiliki 25 tenaga pengajar, yang mengajar menerusi formula dan teknik berkesan membimbing pelajar menghadapi SPM.