Suami pelakon Ummi Nazeera, Dr Izzar Anwari tampil memberikan penjelasan berikutan kekeliruan orang ramai terhadap penyertaan isterinya dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Muafakat Nasional.

Menurut Izzar, pertubuhan itu bukanlah bertujuan untuk berpolitik sebaliknya sebuah badan amal.

“Saya mengambil maklum mengenai tularnya isu isteri saya menyertai Muafakat Nasional (MN), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai salah seorang ahli.

“Pertubuhan Muafakat Nasional ini bukannya sebuah parti politik dan juga tidak merujuk kepada pakatan parti UMNO dan PAS yang dibentuk pada tahun 2019.

“Setelah saya amati, pertubuhan MN ini bepegang kepada matlamat-matlamat yang mampu memberi kebaikan kepada masyarakat,” jelasnya dalam hantaran terbaharu di akaun Instagram.

Dalam hantaran yang sama, Izzar juga memaklumkan sekiranya pertubuhan Muafakat Nasional itu berkaitan dengan politik maka dia adalah orang pertama yang akan menghalang isterinya melibatkan diri.

“Isteri saya sedar dan amat menekankan bahawa sebagai seorang pempengaruh, beliau perlu bersikap neutral dan tidak menggunakan platform beliau untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang berunsurkan politik secara terang-terangan.

“Jika tidak, saya akan menjadi orang pertama yang akan menghalang beliau. Semoga sebarang kekeliruan dapat dielakkan.

“Selamat maju jaya kepada pertubuhan Muafakat Nasional,” tegasnya.

A post shared by Dr. Izzar Anwari (@izzar)

Untuk info, pertubuhan Muafakat Nasional diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa.

Antara artis yang menyertai pertubuhan itu adalah Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Eizlan Yusof.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.