Berita
"Saya Banyak Membaca Mengenai Taman Jepun" - Serene Lim
Pelakon Serene Lim memberitahu dia banyak menghabiskan masa dengan membaca mengenai seni hiasan taman Jepun bagi menjayakan wataknya dalam filem The Garden of Evening Mists.
Serene, 24, berkata, dia mengambil masa lebih kurang sebulan untuk memahami seni taman Jepun sebelum masuk ke set penggambaran.
"Dalam filem ini, jalan ceritanya mengisahkan hasrat seorang kakak yang ingin membina taman Jepun buat adiknya.
"Jadi, bagi menghayati watak saya yang mencintai seni hiasan itu, saya mengambil inisiatif dengan banyak membaca mengenai taman Jepun.
"Seni hiasan tersebut cukup istimewa kerana ia meliputi banyak aspek yang perlu diketahui termasuklah cara penyusunan batu yang betul," katanya kepada Gempak.
Dalam filem itu, Serene memegang watak sebagai Teoh Yun Hong yang memasang impian untuk memiliki taman Jepunnya sendiri.
Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila dia terkorban sewaktu zaman penjajahan Jepun.
Filem The Garden of Evening Mists merupakan sebuah karya adaptasi novel tulisan Tan Twan Eng yang diarahkan pengarah dari Taiwan, Tom Shu-Yu Lin.
Karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu kini sudah ditayangkan di pawagam sejak 16 Januari lalu.
Jadi, jangan lupa saksikan filem The Garden of Evening Mists di pawagam berhampiran anda.
Must-Watch Video