Berita

“Saya Belum Layak Dipanggil Ustaz…”- Ameng Spring

gempak
Syafiqah Jalal
16/10/2019
07:40 MYT
Sponsor Banner
“Saya Belum Layak Dipanggil Ustaz…”- Ameng Spring
Penyanyi Ameng Spring akui dirinya belum dilayak dipanggil dengan gelaran ‘Ustaz’.
Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail meskipun dia sering dijemput oleh pihak masjid untuk memberikan ceramah, namun ia lebih kepada perkongsian peribadi sahaja.
“Saya belum layak dipanggil ‘ustaz’ kerana saya akui dalam proses menimba ilmu. Malah masih kurang dalam ilmu agama.
“Saya akui sekarang ini hampir setiap minggu saya menerima jemputan untuk memberi ceramah atau lebih kepada perkongsian dari pengalaman hidup saya yang boleh menjadi pengajaran serta membuka mata orang lain terutama remaja.
“Saya tidak kata saya kini sudah sempurna, malah saya dalam proses memperbaiki diri ke arah lebih baik. Apatah lagi, umur sudah meningkat.
“Sebelum saya menutup mata, diharapkan dengan masa yang ada ini saya dapat melengkapkannya dengan amal kebajikan,” katanya kepada Gempak.
Ameng ditemui selepas sidang media Konsert Amal Artis Legenda 90-an (2.0) yang bakal diadakan pada 31 Januari tahun depan.
Bercakap mengenai konsert tersebut, Ameng bersetuju menyertainya hanya kerana ingin membantu rakan-rakan seperjuangannya yang berada dalam kesusahan.
“Matlamat konsert ini sangat murni apabila ia dianjurkan bertujuan mengumpul dana membantu golongan memerlukan.
“Hasil dari jualan tiket konsert ini bakal didermakan dan sasaran golongan dibantu adalah penggiat seni seangkatan saya.
“Saya tahu tidak ramai yang bernasib baik dengan karier seni dibina masih bersinar hingga kini. Untuk saya, alhamdulillah rezeki masih ada.
“Jadi besar harapan saya sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu mereka,” katanya lagi.
Selain Ameng, penyanyi lain turut menyertai konsert amal tersebut adalah Nizam Laksamana, Amir Ukays, Gmie Screen, Ali XPDC, Sham Visa, Zarul Umbrella dan penyanyi popular, Khai Bahar.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024