HIBURAN
"Saya Berdamai Dengan Takdir, Lepas Menang AIM..." - Ziha Salleh Reda Naik Turun, Kembali Dengan Romansa
Selepas tiga tahun menyepi daripada dunia muzik, penyanyi Ziha Salleh tampil dengan semangat baharu melalui single terbarunya berjudul Romansa.
Biarpun pernah bimbang namanya semakin dilupakan, Ziha kini lebih tenang menerima setiap fasa perjalanan seninya.
“Alhamdulillah, saya dah terima dan berdamai dengan takdir sebab semua anak seni mengalami fasa naik dan turun dalam kerjaya masing-masing,” luahnya kepada Gempak.
Penyanyi berusia 31 tahun itu mengakui keresahan itu pernah dirasai selepas kejayaan lagu Adat Kasih yang memenangi trofi Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
“Dulu ya mungkin pada waktu saya masih muda, saya akan ada perasaan, kenapa orang tak kenal saya? Tapi sekarang ini, soalan macam tu sudah tak ada lagi.
“Bagi saya, saya akan teruskan hidup… rezeki ada dekat mana-mana. Cuma kita kena tahu apa kekuatan kita pada waktu itu. Jadinya, kalau nak cakap soal kecil hati, sekarang dah tiada rasa kecil hati sangat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Romansa di ibu negara baru-baru ini.
Tiga tahun menyepi daripada radar industri, Ziha sebenarnya memberi fokus pada kehidupan peribadi. Dia lebih banyak mengurus keluarga, membesarkan anak-anak dan pada masa sama bergelar personaliti media sosial.
Must-Watch Video