BERITA
"Saya Bukanlah Contoh Terbaik, Tapi..." - Faizal Ismail Dedah Ada Orang Cuba Ikut Jejak Langkahnya
Pengacara Faizal Ismail mendedahkan bahawa terdapat individu yang menjadikan dirinya sebagai sumber inspirasi dalam mencapai impiannya untuk menyambung pengajian di luar negara.
Lebih menarik lagi, menurut Faizal, 43, individu berkenaan yang pernah menghantar mesej kepadanya dua bulan lalu memaklumkan kepadanya bahawa hasrat untuk mengikut jejak langkahnya sudah berjaya.
"9 Oktober Shera DM (Direct Message) saya tentang niat nak sambung pengajian sebab terinspirasi dengan berita saya sambung Sarjana di United Kingdom.
"Pagi tadi dia DM saya bagitau dah dapat tawaran daripada Universiti Northumbria, United Kingdom, Alhamdulillah," kongsinya.
Perkara tersebut dikongsikan Faizal menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Faizal turut berkongsi paparan mesej antara dirinya dengan wanita yang dikenali dengan panggilan Shera itu.
"Bestnya, impian ni nak sambung belajar di UK, doakan saya juga bang (doa musafir tiada hijab)," tulis pemilik akaun @shahera.kamal kepada Faizal sebelum ini.
Begitupun, menurut Faizal dia bukanlah insan yang terbaik untuk dijadikan contoh kepada mereka di luar sana.
"Saya bukanlah contoh terbaik, tapi kalau ada yang nak jadikan cerita saya utk jadi penggalak kepada motivasi mereka, saya bersyukur dan gembira, saya memberi sokongan sepenuhnya kepada anda," tulisnya.
Pada September lalu, Faizal menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Industri Kreatif di Universiti Cardiff, United Kingdom.
Must-Watch Video