Penyanyi Rizky Febian muncul dengan album keduanya, Berona sejak Julai lalu.

Tanpa berselindung penyanyi Indonesia itu memberitahu album Berona banyak diinspirasikan oleh tunangannya, Mahalini.

Malah di negara kelahirannya, butiran perkahwinan pasangan selebriti tersebut seperti tarikh dan lokasi keduanya akan diijabkabulkan dikatakan ada di dalam album dengan 10 lagu tersebut.

Butiran itu seperti laporan media tempatan diberikan sendiri oleh Rizky.

Bertemu penyanyi itu pada sidang media Konsert Album: Berona Day Rizky Febian di Sunway Putra Hotel, anak pelawak terkenal Sule tersebut menjelaskan apa yang diberitahu hanya gurauan bersama media di Indonesia.

“Sebenarnya saya hanya bergurau kerana saya asyik dikejar media tentang perkembangan perkahwinan kami.

“Itu candaan (gurau) apabila saya katakan terdapat tarikh kahwin, catering sehingga lokasi perkahwinan kami ada di dalam album itu termasuk di dalam lagu Berona.

“Saya tidak sangka gurauan yang dikatakan itu menjadi laporan dan akhirnya viral.

“Sungguh, itu hanya gurauan,” kata Rizky sambil ketawa.

Meski demikian Rizky tidak langsung berniat mempermainkan pihak media kerana album keduanya itu memang banyak diilhamkan daripada perjalanan dan percintaannya bersama Mahalini.

“Berona itu lagunya diilhamkan dari Mahalini. Tentang hubungan kami sehingga kini menjadi tunangan penuh dengan warna. Berona itu maksudnya warna dan di album ini ada banyak warna atau kisah kami,” jelasnya lagi.

Seiring kelahiran Berona, Rizky menyambut lamaran pihak Hitman Solutions untuk mengadakan konsert An Album Live Concert, Berona Day : Rikzy Febian pada 3 November 2023 ini di megastar Arena, Kuala Lumpur.

“Ini akan menjadi konsert saya yang kedua di Malaysia dan semestinya saya akan memberikan yang terbaik buat penggemar di sini.

“Saya telah menerima aprisiasi yang besar daripada penggemar Malaysia dan kelak nanti saya bukan hanya akan mendendangkan lagu-lagu album Berona tetapi juga daripada album sebelum ini,” ujar Rizky.

Tiket-tiket berharga RM179, RM199 dan RM399 akan mula dijual pada 7 September pukul 12 tengahari di www.hitmanlive.com.