Laman Utama
"Saya Cuti Lama Sebab Takut Susahkan Produksi" - Zizi Kirana
Penyanyi Zizi Kirana kembali menceburkan diri dalam bidang lakonan tahun ini.
Menurut Zizi, dia membuat keputusan itu sebagai satu cara mencabar diri setelah sekian lama menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian semata-mata.
"Tahun 2021 ini, saya cabar diri sendiri dengan kembali berlakon.
"Sudah lama saya tak berlakon, kali terakhir pun pada tahun 2012, bukan apa, sebelum ini saya belum sedia untuk benar-benar aktif dalam bidang lakonan.
"Selepas rehat beberapa tahun, jadi saya cuba ambil watak dalam sebuah drama dahulu," katanya.
Zizi berkata demikian ketika ditemui di rakaman sebuah program televisyen baru-baru ini.
Tambah penyanyi lagu Eh ini, dorongan positif daripada pelbagai pihak menjadi faktor dia terbuka hati untuk kembali ke bidang lakonan.
"Saya terbuka hati untuk berlakon semula kerana peminat, rakan-rakan, keluarga dan pengikut di Instagram, ramai antara mereka yang menyuruh saya berlakon.
"Katanya, mereka semua rindu melihat saya berlakon, bukan apa, sebelum ini saya ada perasaan takut.
"Saya bimbang jika saya lakukan kesalahan ketika penggambaran, ia akan menyusahkan pihak produksi, itulah sebab saya bercuti lama.
"Bagaimanapun, setelah mendapat banyak dorongan positif, saya pun teruskan saja," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Zizi juga akan tampil dengan beberapa lagu dalam tahun ini sebagai buah tangan kepada para peminat.
Sama-sama kita nantikan!
Must-Watch Video