Peserta Big Stage 2020, Hafiz Zainal bersedia untuk menerima kritikan jika kualiti persembahannya masih gagal memuaskan hati pihak juri pertandingan itu.

Menurut Hafiz, kritikan yang diterima dari Ajai dalam konsert pertama membuatkan dia mahu menguatkan lagi mental dan lebih bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

"Minggu pertama saya dah kena tamparan hebat, sudah tentu mental saya harus lebih kuat dan bersedia dengan kemungkinan untuk menerima kritikan lagi selepas ini.

"Kita manusia biasa yang boleh lakukan kesilapan pada bila-bila masa, tetapi saya akan berusaha keras untuk sentiasa lakukan yang terbaik dalam pertandingan ini," katanya kepada Gempak.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert minggu kedua Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Tambah Hafiz, selain berusaha keras, dia juga yakin dengan rezeki kurniaan Tuhan.

"Apabila naik ke atas pentas, macam-macam boleh berlaku, kadang-kadang rasa gementar pun boleh menganggu kualiti persembahan.

"Apapun, selepas berusaha dan bekerja keras, saya menyerahkan semuanya kepada Allah, saya percaya pada rezeki-Nya," tuturnya menutup bicara.

Terdahulu, dalam konsert minggu pertama, Ajai hanya memberi dua markah kepada Hafiz dan menyifatkan nyanyian peserta itu sebagai 'out of tune'.

Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.